Amukan seekor gajah bunuh 17 orang

Amukan seekor gajah bunuh 17 orang

New Delhi: Seekor gajah mengamuk dan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang susulan konflik manusia serta haiwan yang semakin memuncak di timur India, baru-baru ini, lapor Independent.

Pihak berkuasa Jharkhand berkata, seekor gajah jantan dewasa melakukan sekurang-kurangnya sedozen serangan dalam tempoh tujuh hari di kawasan hutan Saranda.

Dalam tempoh dua hari itu, haiwan berkenaan membunuh 13 orang termasuk empat sekeluarga dalam serangan berasingan di daerah Singhbhum Barat.

Dalam pada itu, pegawai perhutanan bahagian Chaibasa, Aditya Narayan berkata, gajah itu kerap bergerak sehingga menyukarkan usaha menjejakinya.

Beliau berkata, gajah itu dipercayai berada dalam keadaan “hormon ganas gajah jantan” yang menyebabkan tahap keagresifannya meningkat.

Susulan itu, Jabatan Perhutanan dilaporkan mengerahkan kira-kira 80 anggota bagi mengawal haiwan itu dan mengalihkannya ke lokasi lebih selamat.

Pakar dari negeri jiran Bengal Barat turut dibawa masuk untuk membantu menghala gajah berkenaan kembali ke dalam hutan.

Sementara itu, penduduk kampung berkata, kawasan itu dilanda ketakutan dengan kebanyakan keluarga memilih untuk kekal di dalam rumah.

Kebimbangan turut disuarakan terhadap keselamatan kanak-kanak dan warga emas, manakala pihak berkuasa menggesa penduduk mengelakkan kawasan hutan.

Ketua Konservator Hutan Wilayah, Smita Pankaj pula berkata, gajah itu menjadi ganas selepas keadaan gelap dengan menyerang rumah dan penduduk kampung.

Beliau berkata, haiwan itu bergerak sangat pantas dan sering mengelak pasukan keselamatan, namun hampir tidak kelihatan pada waktu siang kerana bersembunyi jauh di dalam hutan.

Menurut kajian Institut Hidupan Liar India, Jharkhand merekodkan hampir 1,300 kematian akibat serangan gajah sepanjang 23 tahun lalu.

Pergerakan gajah yang tidak menentu itu turut memaksa pihak kereta api membatalkan beberapa perkhidmatan kereta api di wilayah berkenaan.

Kementerian Alam Sekitar India memberitahu Parlimen awal tahun ini bahawa kira-kira 80 gajah liar terbunuh di seluruh negara selepas dilanggar kereta api antara 2020 hingga 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top