Peserta larian malam dikejar 9 'entiti seram'

Peserta larian malam dikejar 9 'entiti seram'

am@hmetro.com.my

Seremban: Bukan sekadar larian malam biasa, sebaliknya peserta ‘Nightmare Run’ diuji dengan debaran apabila terpaksa berlari sambil ‘dikejar entiti berkostum’ seram, malam tadi.

Antara yang ‘mengacau’ peserta larian di sepanjang laluan adalah ‘werewolf’, ‘scarecrow’, ‘zombie’, ‘ghostface’ dan ‘grim reaper’ menyebabkan pelari teruja setiap kali tiba di setiap ‘checkpoint’.

Pengarah Program, Muhammad Najmi Afiq Mohd Suhaimi, 24, berkata, peserta perlu melalui empat checkpoint dengan entiti terbabit bersembunyi di lokasi rahsia untuk menakutkan pelari.

“Biasanya, budaya di UiTM Seremban 3 pada waktu malam agak sunyi, jadi kami mahu buktikan aktiviti malam juga boleh jadi menyeronokkan selain memeriahkan kawasan kolej dengan aktiviti sihat.

“Daripada sini, timbul idea untuk mengadakan larian malam dan bagi menambah keterujaan, kami berkolaborasi dengan pengumpul kostum hantu bagi memberi sedikit kelainan,” katanya ditemui.

Jelasnya, larian disertai 150 peserta anjuran penuntut semester lima Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Ijazah sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3.

“Program ini bagi memenuhi keperluan tugasan kursus, namun sambutan diterima jauh melebihi jangkaan walaupun skalanya agak kecil kerana kami berdepan kekangan tenaga kerja dan pengalaman menganjurkan program,” katanya.

Penuntut di Kolej Mara Seremban, di sini, Nurul Adeella Mohamad Asri, 19, berkata, dia teruja untuk menyertai larian berkenaan bagi merasai debaran apabila bertembung dengan entiti terbabit.

“Ada rakan yang kongsikan program ini. Saya dan 11 rakan kemudiannya menyertainya,” katanya.

Peserta dari UiTM Seremban 3, Muhammad Firdaus Zafran Che Mustapa, 22, berkata, ini julung kali dia menyertai program seperti itu.

“Sebelum ini, saya ada menonton video di media sosial berkaitan aktiviti paranormal dan sebagainya. Kali ini, saya cuba untuk merasai pengalaman berkenaan walaupun entiti hanya memakai kostum,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top