Harap penantian 12 tahun berakhir esok

Harap penantian 12 tahun berakhir esok

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berharap tuah gelanggang sendiri dan sokongan padu peminat akan dapat menamatkan penantian 12 tahun gelaran beregu lelaki di Terbuka Malaysia apabila turun beraksi di pentas final, esok.

Wooi Yik mengakui kehadiran peminat memberi suntikan semangat besar kepada mereka sepanjang kejohanan namun dalam masa yang sama tetap merasai tekanan.

“Saya rasa peminat menjalankan tugas yang sangat hebat dalam menyokong seluruh pasukan Malaysia. Terima kasih kepada peminat yang datang hari ini. Teruskan menyokong kami esok, perlawanan terakhir. Kami akan berikan yang terbaik,” katanya.

Aaron pula menyifatkan kemaraan ke perlawanan akhir sebagai satu pencapaian, namun menegaskan masih ada satu tugasan penting yang perlu diselesaikan.

“Memang gembira dapat masuk final selepas final tahun lalu (Master Malaysia) ini kali kedua kami mara ke final di gelanggang sendiri. Satu pencapaian juga, tapi masih ada satu langkah lagi, jadi kami kekal fokus,” katanya.

Mengulas pemburuan gelaran Super 1000 yang masih belum dimenangi, Aaron mengakui sasaran itu belum tercapai namun fokus utama tetap kepada perlawanan.

Sementara itu Wooi Yik mengakui tekanan sentiasa wujud, namun memilih untuk menikmati setiap perlawanan dan mempamerkan permainan terbaik.

“Tekanan memang ada, jadi kami cuma nikmati perlawanan. Kami fokus satu demi satu perlawanan dan tidak fikir terlalu banyak. Walaupun jangkaan tinggi, kami cuba lakukan yang terbaik dan enjoy permainan,” katanya.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 51 minit, gandingan ranking kedua dunia itu menewaskan beregu Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, 23-21, 21-18.

Di pentas final, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, yang menewaskan beregu England, Ben Lane–Sean Vendy, 8-21, 21-11, 21-18 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat satu sama dengan pertemuan terakhir menyaksikan Aaron-Wooi Yik menang di pentas akhir Terbuka Singapura tahun lalu.

Aaron menyifatkan perlawanan akhir dijangka seimbang, namun mengakui kelebihan beraksi di tempat sendiri.

“Peluang saya lihat 50-50. Kami ada kelebihan sikit sebab bermain di tempat sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top