Kelab divisyen keenam singkir juara bertahan Piala FA, Palace

Kelab divisyen keenam singkir juara bertahan Piala FA, Palace

Macclesfield: Misi Crystal Palace untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA berakhir dengan penuh memalukan apabila mereka tewas 1-2 kepada pasukan divisyen keenam, Macclesfield, sekali gus antara kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan itu.

Jurang sebanyak 117 anak tangga yang memisahkan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Palace dengan Macclesfield dari National League North dalam piramid bola sepak England, adalah yang terbesar pernah diatasi oleh pasukan bukan pilihan dalam sejarah Piala FA.

Kapten pasukan, Paul Dawson, dan Isaac Buckley-Ricketts masing-masing menjaringkan gol sebelum dan selepas rehat untuk menghadiahkan kemenangan bersejarah kepada kelab yang terpaksa dibentuk semula pada 2020 selepas dibubarkan akibat hutang tidak berbayar.

Macclesfield juga masih cuba menerima hakikat pemergian penyerang mereka, Euan McLeod, yang meninggal dunia pada usia 21 tahun, kurang sebulan lalu akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang selepas satu perlawanan.

Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner, yang dikaitkan dengan kekosongan jawatan pengurus di Manchester United, membuat enam perubahan dalam kesebelasan utama, namun barisan permulaannya masih dibarisi pemain antarabangsa England, Marc Guehi dan Adam Wharton.

Palace kini gagal mencatat kemenangan sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Macclesfield mengambil kesempatan sepenuhnya apabila Dawson menanduk masuk gol hasil sepakan percuma sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.

Glasner seakan tidak percaya melihat situasi kelam kabut di hadapan gawang yang membawa kepada gol kedua pasukan divisyen keenam itu.

Buckley-Ricketts menolak masuk bola dari jarak dekat melepasi penjaga gol, Walter Benitez, pada minit ke-60 selepas Palace gagal berulang kali mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Sepakan percuma tepat pemain antarabangsa Sepanyol, Yeremy Pino, pada minit ke-90 mempamerkan kualiti sebenar yang dimiliki pasukan EPL itu.

Namun, Palace tetap tidak mampu mengelakkan diri daripada mengalami kekalahan memalukan, hanya beberapa bulan selepas menewaskan Manchester City di Wembley untuk menjulang trofi utama pertama dalam sejarah kelab itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top