khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli parti itu yang didapati melanggar peraturan atau tatatertib.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Zainol Samah turut mengingatkan anggota parti agar menyalurkan sebarang aduan atau isu menerusi saluran yang betul dan rasmi.
“Penggunaan sebarang media termasuk media sosial untuk menyebarkan aduan, dakwaan atau maklumat berkenaan parti boleh menjejaskan reputasi parti serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainol berkata, pihaknya juga telah mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan aduan diterima berhubung masalah disiplin dan salah laku dalam kalangan anggota PKR yang melanggar peraturan dan perlembagaan.
Menurutnya, Lembaga Disiplin PKR sentiasa komited untuk melaksanakan tugas dengan adil dan telus tanpa memihak kepada mana-mana pihak demi menjaga integriti dan nama baik parti.
Beliau turut menyeru kepada anggota parti itu yang ingin menyalurkan aduan agar menyalurkannya ke lembagadisiplin@keadilanrakyat.org atau di talian telefon 0378850530.
© New Straits Times Press (M) Bhd




