Gout: Keradangan amat menyakitkan

Gout: Keradangan amat menyakitkan

amir_hamid@mediaprima.com.my

GOUT sejenis penyakit radang sendi yang sering dikaitkan dengan kesakitan melampau dan boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak dikawal dengan betul.

Penyakit ini berlaku apabila paras asid urik dalam darah menjadi terlalu tinggi sehingga membentuk kristal dan berkumpul di sendi, seterusnya mencetuskan keradangan.

Asid urik terbentuk daripada pemecahan purin iaitu sejenis protein yang wujud secara semula jadi dalam badan dan juga terdapat dalam pelbagai jenis makanan.

Dalam keadaan normal, bahan kumuhan ini akan dikeluarkan melalui air kencing, namun bagi penghidap gout, proses pembuangan itu tidak berlaku dengan sempurna.

Apabila asid urik gagal disingkirkan sepenuhnya, ia akan berkumpul dan mendap di dalam sendi.

Keadaan ini menyebabkan sendi menjadi radang, bengkak dan amat menyakitkan, khususnya apabila serangan berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran awal.

Penyakit gout lazimnya menyerang ibu jari kaki, namun ia juga boleh melibatkan sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.

Gout jarang dihidapi oleh wanita sebelum putus haid kerana faktor perlindungan hormon, namun risikonya meningkat selepas tempoh itu.

Memetik portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), gout berlaku apabila paras asid urik dalam darah meningkat melebihi tahap normal sehingga membentuk kristal tajam di sendi menyebabkan kesakitan teruk, kemerahan, bengkak dan rasa panas pada kawasan terlibat.

Serangan gout biasanya berlaku secara mendadak, dengan sendi menjadi terlalu bisa sehingga menyukarkan pergerakan.

Jika tidak dirawat, kesakitan ini boleh mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk reda dan berpotensi berulang selepas beberapa minggu atau bulan.

Selain kesakitan melampau, ciri-ciri fizikal pada sendi terlibat termasuk kemerahan jelas kelihatan, pembengkakan, rasa panas serta kesakitan yang amat sensitif walaupun dengan sentuhan ringan.

Keadaan ini sering menyebabkan pesakit sukar berjalan atau menjalani aktiviti harian.

Jika dibiarkan berpanjangan, gout boleh menyebabkan komplikasi seperti pembentukan benjolan keras dikenali sebagai ‘tophi’ di bawah kulit akibat pengumpulan kristal asid urik.

Selain itu, paras asid urik yang tinggi juga boleh membentuk batu karang dalam saluran urinari.

Gout turut dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan lain seperti kegemukan, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan kencing manis.

Faktor ini bukan sahaja meningkatkan risiko serangan gout, malah menyukarkan kawalan penyakit dalam jangka panjang.

Rawatan jangka panjang gout memberi penekanan kepada perubahan gaya hidup, khususnya dalam aspek pemakanan.

Pengurangan berat badan amat penting kerana kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik secara berkesan.

Penghidap gout juga dinasihati mengelakkan pengambilan minuman keras serta menghadkan makanan yang mengandungi purin tinggi.

Sesetengah daging binatang, makanan laut dan kekacang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan paras asid urik jika diambil secara berlebihan.

Dalam aspek pemakanan harian, pengambilan organ dalaman, ikan bilis, ikan kembung, sardin, daging cincang, makanan bercangkerang serta ekstrak daging perlu dielakkan atau dikurangkan.

Pada masa sama, sayur-sayuran tertentu dan produk berasaskan bijirin perlu diambil secara sederhana.

Bagi serangan akut gout, rawatan biasanya melibatkan penggunaan ubat tahan sakit, ‘colchicine’ serta steroid dalam bentuk suntikan atau pil yang diberikan mengikut preskripsi doktor bagi mengurangkan keradangan dan kesakitan dengan cepat.

Pencegahan kekal sebagai kunci utama dalam pengurusan gout.

Pengambilan allopurinol secara berterusan, minum air secukupnya serta mengamalkan gaya hidup sihat mampu membantu mengekalkan paras asid urik dalam julat normal dan mengurangkan risiko serangan berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top