Jakarta: Pihak berkuasa bencana Indonesia memaklumkan bahawa 14 kabupaten di Aceh kini memasuki fasa peralihan kecemasan, menandakan kemajuan dalam pemulihan pascabencana susulan banjir dan tanah runtuh pada penghujung tahun lalu.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, empat kabupaten – Aceh Tengah, Gayo Lues, Aceh Tamiang dan Pidie Jaya – kekal di bawah status tindak balas kecemasan, dengan status itu dilanjutkan kerana kerja-kerja pemulihan masih diteruskan.
“Ini kawasan yang masih kami berikan keutamaan bagi pemulihan akses laluan darat serta pengagihan logistik kepada masyarakat yang berada jauh dari pos pemerintahan kabupaten dan bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
Data BNPB menunjukkan Sumatera Utara dan Sumatera Barat turut dilanda banjir dan tanah runtuh pada akhir November tahun lalu, mengakibatkan 1,178 orang terkorban dan lebih 238,500 lagi hilang tempat tinggal.
Di peringkat wilayah, Abdul Muhari berkata, Gabenor Aceh Muzakir Manaf melanjutkan status tindak balas kecemasan wilayah berkenaan untuk tempoh 14 hari lagi sehingga 22 Januari bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan.
Sementara itu, di Sumatera Utara dan Sumatera Barat, Abdul Muhari berkata, kedua-dua wilayah berkenaan beralih ke fasa peralihan kecemasan dan menamatkan operasi SAR untuk mangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan SAR kekal bersiap siaga sekiranya terdapat laporan baharu daripada orang awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




