London: Thomas Frank menegaskan beliau masih mendapat sokongan penuh pemimpin Tottenham Hotspur meskipun tekanan kian memuncak susulan penyingkiran kelab itu pada pusingan ketiga Piala FA, malam tadi.
Skuad kendalian Frank tewas 1-2 di tangan Aston Villa di laman sendiri selepas gol separuh masa pertama daripada Emiliano Buendia dan Morgan Rogers meletakkan pelawat di hadapan.
Wilson Odobert merapatkan jurang pada babak kedua ketika Spurs mempamerkan peningkatan prestasi, namun kebangkitan itu sudah terlambat untuk menyelamatkan Frank daripada kekalahan memeritkan.
Bekas pengurus Brentford itu kini menyaksikan tujuh kekalahan daripada 13 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, dengan Tottenham tersingkir daripada kedua-dua piala domestik serta terperosok di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Spurs masih berpeluang mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, namun Frank berdepan cabaran besar untuk memastikan beliau kekal menerajui pasukan hingga tamat peringkat kumpulan.
Penyokong Tottenham sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurus dari Denmark itu dengan sorakan sinis sebaik wisel penamat dibunyikan.
Namun Frank tetap yakin beliau akan diberi masa untuk memperbaiki prestasi hambar kelab London utara itu.
“Saya benar-benar merasai sokongan itu. Tiada keraguan langsung. Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan dan hakikat kami tidak memperoleh keputusan lebih baik,” katanya.
“Kami perlu menampilkan prestasi yang lebih konsisten dan terus mara ke depan.”
Ia melengkapkan minggu sukar buat Frank selepas beliau secara tidak sengaja mencetuskan kemarahan penyokong Spurs apabila dilihat minum menggunakan cawan berlogo Arsenal sebelum kekalahan 2-3 kepada Bournemouth, Rabu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




