Pemandu lori warga emas tersepit, patah tangan dalam kemalangan

Pemandu lori warga emas tersepit, patah tangan dalam kemalangan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kajang: Seorang lelaki berusia 60 tahun tersepit di bahagian pemandu dan mengalami patah tangan kanan selepas lori dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 15 Lebuhraya Cheras-Kajang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

“Akibat dari pelanggaran itu mangsa lelaki berusia 60 tahun iaitu pemandu lori tersepit di bahagian pemandu dan telah berjaya dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

“Pemandu lori yang mengalami kecederaan patah tangan kanan ditahan wad sementara dua orang penumpang lori mendapat rawatan pesakit luar termasuk pemandu kenderaan berusia 25 tahun yang mengalami cedera ringan di tangan kiri.

“Kesemua mereka mendapat rawatan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, setakat ini laporan polis daripada kedua-dua pihak yang terbabit masih belum diterima dan polis menyeru mereka tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM15,000 dan juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidakmelebihi 12 bulan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Aiman di talian 014-6638897 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati ketika memandu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top