Syria gantung penerbangan di lapangan terbang Aleppo 'sehingga notis lanjut'

Syria gantung penerbangan di lapangan terbang Aleppo 'sehingga notis lanjut'

Aleppo: Syria pada Sabtu menggantung semua trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo sehingga diberitahu kelak, berikutan kebimbangan keselamatan susulan serangan terbaharu oleh kumpulan YPG/SDF ke atas kawasan perumahan di bandar utara itu.

Dalam kenyataan Agensi Berita Arab Syria (SANA), Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam memaklumkan bahawa lapangan terbang berkenaan akan kekal ditutup bagi menjamin keselamatan penumpang dan kru penerbangan selain melindungi keselamatan operasi.

Menurut pihak berkuasa, keputusan itu adalah langkah sementara dan bersifat berjaga-jaga sementara menunggu selesainya penilaian teknikal serta keselamatan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

Maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja keputusan dibuat untuk menyambung semula operasi penerbangan. Pengembara turut dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini.

Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan bahawa semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo ditangguhkan sehingga 11 malam waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).

Sejak Selasa, SDF membedil kawasan kejiranan penduduk, kemudahan awam dan kedudukan Tentera Syria di Aleppo.

Serangan itu mengorbankan 23 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain selain menyebabkan kira-kira 165,000 penduduk dari daerah Ashrafieh dan Sheikh Maqsoud terpaksa berpindah.

Pada Mac 2025, jawatan presiden Syria mengumumkan pemeteraian perjanjian bagi penyepaduan SDF ke dalam institusi negara sekali gus mengesahkan semula perpaduan wilayah negara itu dan menolak sebarang cubaan untuk mencetuskan perpecahan.

Pada April 2025, pihak berkuasa Syria menandatangani perjanjian dengan SDF berkaitan kawasan kejiranan Sheikh Maqsoud dan Ashrafieh, yang menetapkan kedua-dua daerah itu dianggap sebagai bahagian pentadbiran bandar Aleppo sambil menghormati keistimewaan tempatan mereka.

Perjanjian itu turut merangkumi peruntukan bagi pengharaman manifestasi bersenjata, pengehadannya kepada pasukan keselamatan dalaman serta pengunduran tentera SDF ke kawasan timur Sungai Euphrates di timur laut Syria.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan bahawa sejak beberapa bulan lalu, SDF tidak menunjukkan sebarang usaha untuk mematuhi syarat perjanjian berkenaan.

Kerajaan Syria terus mempergiatkan usaha bagi mengekalkan keselamatan di seluruh negara sejak penggulingan rejim Assad pada Disember 2024, selepas 24 tahun berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top