am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Penduduk di sekitar Batu Laut di sini, menyokong perancangan Kerajaan Selangor untuk memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor bermula 2030 dan berharap pelaksanaannya dapat disegerakan.
Peniaga kedai makan, Mazuin Ibrahim, 46, berkata, cadangan itu disifatkan sebagai penamat kepada penderitaan penduduk yang sekian lama terkesan dengan operasi ladang ternakan berkenaan.
Menurutnya, bau najis haiwan itu menjejaskan perniagaan kedai makan yang diusahakan apabila pelanggan berasa tidak selesa dengan bau busuk berterusan.
“Sebagai penduduk asal, saya sangat bersetuju dengan cadangan ini kerana sejak kecil lagi kami sudah berdepan masalah sama.
“Sudah tiba masanya ladang ini dipindahkan demi keselesaan penduduk dan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tinjauan di sekitar Kampung Batu Untung mendapati beberapa ladang ternakan dibina berhampiran jalan utama kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa kawasan yang terbabit dengan operasi ladang ternakan babi termasuk Kampung Batu Laut, Kampung Batu Untung, Kampung Tanjung Layang dan Kampung Tumbok.
Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Selangor akan melaksanakan sistem penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar bermula 2030 bagi memastikan industri berkenaan lebih bersih, tersusun serta tidak menjejaskan alam sekitar dan keharmonian masyarakat setempat.
Langkah itu juga bertujuan menjamin keselamatan makanan kepada komuniti bukan Islam serta mengurus industri ternakan secara lebih teratur bagi memastikan bekalan makanan, kebersihan, keharmonian masyarakat dan kawalan risiko penyakit.
Projek di Bukit Tagar akan menggunakan sistem penternakan tertutup dengan konsep ‘zero discharge’ melalui teknologi kitar semula sisa kumbahan kepada biogas dan tenaga elektrik.
Penternak sedia ada di Tanjung Sepat pula akan terus beroperasi di lokasi masing-masing selama tiga tahun sebelum dipindahkan.
Sementara itu, pekerja swasta, Ahirol Nizam Mohd Saripan, 43, dari Batu Laut turut menyokong cadangan pemindahan ladang babi di kawasan itu yang beroperasi sejak berpuluh tahun lalu di kawasan majoritinya penduduk Islam.
Menurutnya, selain bau busuk dari ladang, proses pengangkutan haiwan menggunakan lori turut menyebabkan pencemaran bau sepanjang laluan.
“Pihak berkuasa juga perlu memantau aliran air takungan dari ladang yang didakwa disalurkan ke sungai dan laut kerana ia boleh mencetuskan pencemaran alam sekitar.
“Kami berharap pemindahan ini dapat disegerakan kerana Pantai Batu Laut antara kawasan pelancongan dan pusat sukan layar yang menjadi tumpuan pengunjung luar serta menjana ekonomi kepada Kerajaan Selangor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




