Bogota: Penyanyi popular Colombia terkorban selepas pesawat dinaiki terhempas beberapa saat selepas berlepas, pada malam Sabtu.
Ketika kejadian, Yeison Jimenez, 34, bersama beberapa kru sedang dalam perjalanan ke sebuah konsert, lapor Thesun.co.
Sebelum menaiki pesawat, Yeison sempat membuat satu hantaran di Instagram: ‘Sentiasalah merendah diri, kerana apa yang Tuhan berikan kepada kamu, Dia juga boleh mengambilnya kembali’.
Nahas berkenaan turut menyebabkan juruterbang, pembantu juruterbang dan empat penumpang, termasuk Yeison maut.
Jurugambar penyanyi berkenaan, Weisman Mora, juga sempat memuat naik video terakhir mereka di dalam pesawat ketika ia sedang bergerak di landasan, turut dikenal pasti sebagai antara mangsa korban.
Nahas berlaku selepas jam 4 petang waktu tempatan semalam, dua jam selepas Yeison dan tiga ahli pasukannya dirakam sedang membeli keju di sebuah kedai berhampiran lapangan terbang.
Penyanyi terbabit dikatakan turut turut berswafoto bersama kakitangan kedai berkenaan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Colombia berkata:
“Ketika pasukan kecemasan dan pihak polis tiba di lokasi nahas, keenam-enam individu di dalam pesawat disahkan sudah meninggal dunia.
“Antara mangsa ialah artis popular Yeison Jimenez,” katanya.
Yeison, seorang penyanyi dan penulis lagu yang mula berkecimpung dalam bidang seni sejak berusia tujuh tahun, pernah mendedahkan dalam satu temu bual podcast sebelum tragedi yang meragut nyawanya bahawa beliau sering bermimpi akan meninggal dunia dalam satu nahas udara.
Pesawat itu dimiliki oleh syarikatnya, YJ Company SAS.
Turut terkorban Kapten Hernando Torres, Juan Manuel Rodriguez, Oscar Marin, Jefferson Osorio dan Weisman Mora.
© New Straits Times Press (M) Bhd




