Kilang sarung tangan getah Kuala Selangor ditutup lima hari

Kilang sarung tangan getah Kuala Selangor ditutup lima hari

bhnews@bh.com.my

KUALA SELANGOR: Sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di daerah ini diarah menutup operasi mulai hari ini hingga 29 Mei ini.

Tindakan itu diambil susulan sekumpulan pekerja kilang terbabit yang juga warga asing memakai gelang merah jambu masuk ke kedai di Pekan Sungai Sembilang, Jeram, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pemeriksaan dilakukan pada jam 10 pagi oleh sepasukan polis Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor.

“Agensi penguat kuasa yang terbabit menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kilang itu dan penempatan pekerja warga asing.

“Hasil pemeriksaan, pihak pengurusan kilang diarahkan henti operasi kilang selama lima hari bermula hari ini mengikut Seksyen 18 (1) (F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua agensi penguat kuasa di daerah itu akan terus membuat pemantauan ke atas pematuhan SOP di kilang terbabit.

“Bersama-sama kita memerangi dan berganding bahu dalam memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial semua pekerja kilang itu disyaki kontak rapat selepas 44 daripadanya yang bekerja di kilang terbabit dipercayai positif COVID-19.

Beberapa gambar dan video yang dimuat naik menunjukkan pekerja kilang terbabit masuk ke dalam kedai secara bersahaja hingga menimbulkan kemarahan di kalangan netizen.

Rata-rata netizen juga mengecam dan mempersoal tindakan majikan kilang terbabit yang dilihat tidak memantau pergerakan pekerja mereka secara serius.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top