am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditahan melalui Op Serantau yang disyaki terbabit aktiviti seleweng sumbangan orang ramai akan dituduh di mahkamah, esok.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pertuduhan individu berkenaan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, di sini, pada 8.30 pagi.
Pada Jun tahun lalu, Harian Metro melaporkan modus operandi sebuah NGO yang mengutip sumbangan orang ramai, selain lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria turut ‘digelapkan’ untuk kegunaan sendiri.
Sumbangan orang ramai itu kemudian dipindahkan ke akaun peribadi, dan membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah termasuk mata wang kripto bernilai RM26 juta.
Kegiatan NGO terbabit bagaimanapun terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO itu menerusi Op Serantau dijalankan SPRM Selangor.
Sumber dipetik berkata, serbuan dibuat di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Jun tahun lalu.
Semalam, Harian Metro melaporkan, sekurang-kurangnya tiga NGO ‘popular’ berada dalam radar SPRM selepas dikesan mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.
Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.
Beliau melahirkan rasa kecewa berikutan masih ada segelintir NGO yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan melalui kutipan dana awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




