am@hmetro.com.my
Muar: Polis menumpaskan kegiatan penipuan dalam talian dengan menahan sembilan individu yang bertindak sebagai keldai akaun menerusi operasi bersepadu, semalam.
Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 59 tahun dengan dua daripadanya adalah wanita ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kesemua suspek adalah keldai akaun dengan menyerahkan kad ATM dan butiran perbankan kepada sindiket penipuan dalam talian.
Menurutnya, sindiket kemudiannya menggunakan butiran perbankan suspek sebagai medium penerimaan wang hasil penipuan daripada mangsa.
“Berdasarkan siasat awal, pembabitan suspek dengan akaun yang digunakan dalam aktiviti penipuan ini dikesan berlaku dalam tempoh sekitar Disember 2024 hingga Oktober lalu, bergantung kepada peranan dan kes masing-masing.
“Suspek ditahan juga membabitkan kes disiasat berkaitan kes penipuan dalam talian dengan jumlah keseluruhan kerugian melebihi RM781,000,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Muar bagi membantu siasatan lanjut serta mengesan rangkaian sindiket terbabit.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




