Harimau belang masuk perangkap di Bukit Kinding

Harimau belang masuk perangkap di Bukit Kinding

am@hmetro.com.my

Ipoh: Seekor harimau belang dianggarkan berusia dua tahun memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di kawasan Bukit Kinding, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap dipasang sekitar jam 10 pagi hari ini sebelum mamalia jantan dianggarkan seberat 75 kilogram (kg) itu didapati masuk perangkap jam 1 tengah hari.

Katanya, operasi menangkap harimau belang itu dibuat susulan aduan penduduk.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mamalia itu dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan fizikal.

“Walaupun tiada kecederaan luaran dikesan, pemeriksaan kesihatan menyeluruh tetap akan dijalankan bagi memastikan tahap kesihatan harimau itu.

“Ia akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff berkata, haiwan itu bukan harimau belang yang sedang diburu di Bukit Bangkong, Chemor sejak awal Disember lalu.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan ia adalah anak kepada harimau yang sedang diburu di Bukit Bangkong.

Media pada 8 Disember lalu melaporkan penduduk di Bukit Bangkong, Chemor bimbang apabila dikejutkan dengan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top