PM titip kata semangat kepada Aaron-Wooi Yik

PM titip kata semangat kepada Aaron-Wooi Yik

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, hadir memberi sokongan kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang beraksi pada perlawanan akhir badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.

Beliau berkata, walaupun nasib tidak menyebelahi Malaysia, beliau dan seluruh rakyat berbangga dengan semangat juang Aaron-Wooi Yik, yang begitu hampir menumpaskan lawan.

Beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada pasangan nombor dua dunia itu untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Teruskan bekerja keras, perbaiki setiap kelemahan dan kekalkan keyakinan.

“Insya-Allah, lebih banyak kejayaan akan dicapai selepas ini,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.

Aaron-Wooi Yik, hari ini, terpaksa akur kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, selepas tewas 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan sengit di Axiata Arena.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 di Bangi, yang turut disertai barisan Menteri Kabinet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top