'Kami serah pada polis jalan siasatan, mohon beri ruang kerana masih trauma' – Ibu budak nyaris lemas

'Kami serah pada polis jalan siasatan, mohon beri ruang kerana masih trauma' – Ibu budak nyaris lemas

am@hmetro.com.my

Georgetown: “Kami serah segalanya kepada polis untuk menjalankan siasatan, namun buat masa ini kami mohon maaf dan diberi ruang serta tidak mahu diganggu kerana masih trauma.”

Itu kata wanita dikenali sebagai Farah, ibu kepada kanak-kanak lelaki yang nyaris lemas di kolam renang sebuah kondominium di Bayan Lepas, bersama anak saudaranya berusia tujuh tahun.

Katanya, anaknya kini beransur baik namun memerlukan pemantauan di wad kanak-kanak Hospital Pulau Pinang (HPP).

​”Doktor memaklumkan anak saya memerlukan pemantauan selama 48 jam sebelum diputuskan sama ada boleh pulang (keluar wad).

“Terima kasih kerana menghormati permintaan kami, doakan semoga kedua-duanya segera sihat,” katanya ketika ditemui di HPP, hari ini.

Sementara itu, ibu kanak-kanak perempuan yang enggan dikenali berkata anak ketiganya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak semalam dan menunjukkan perkembangan baik hari ini.

“Doktor maklumkan perkembangannya semakin baik,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana masih trauma dengan kejadian menimpa anaknya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan dua sepupu itu ditemukan tidak sedarkan diri di tepi kolam renang kondominium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab, berkata, semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua mangsa ke kolam renang berkenaan jam 8.30 pagi semalam bersama ibu saudaranya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top