Raphinha jaring dua gol, Barca pertahan Piala Super Sepanyol

Raphinha jaring dua gol, Barca pertahan Piala Super Sepanyol

Jeddah, Arab Saudi: Jurulatih Barcelona, Hansi Flick memuji mentaliti Raphinha selepas penyerang itu menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Real Madrid dan mengekalkan kejuaraan Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Pemain sayap Brazil itu kini mengumpul tujuh gol dalam lima perlawanan terakhir, termasuk dua jaringan ketika menang 3-2 ke atas Los Blancos di Arab Saudi.

Raphinha sebelum ini terpaksa berehat hampir dua bulan akibat kecederaan ketika prestasi Barca merosot pada Oktober dan November, namun dia kembali dengan aksi cemerlang.

“Mentalitinya luar biasa, dinamismenya memberi kesan kepada seluruh pasukan,” kata Flick kepada wartawan.

Raphinha terlepas satu peluang terbaik pada separuh masa pertama tetapi hampir serta-merta meletakkan Barca di hadapan di Jeddah. Kemudian, ketika kedudukan terikat 2-2, pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol kemenangan dari luar kotak penalti, dibantu sedikit lencongan bola.

“Dia terlepas peluang pertama, tetapi peluang kedua dia berada di tempat yang betul dan menjaringkan gol pembukaan, dan itu memberikan keyakinan kepada pasukan,” tambah Flick. “Inilah yang Raphinha bawa di atas padang, intensiti tinggi dan kami memerlukannya.”

Barca turut menewaskan Real Madrid dalam Piala Super Sepanyol musim lalu dalam laluan merangkul trebel domestik.

Flick berkata, beliau berharap kemenangan ini dapat membantu pendahulu La Liga itu mencapai sasaran lain musim ini.

“Kami berada dalam suasana sangat baik, keyakinan kami kini tinggi,” kata Flick selepas kemenangan ke-10 berturut-turut Barca dalam semua pertandingan.

“Final ini sangat penting buat kami kerana menentang Real Madrid sentiasa istimewa. Sekali lagi kami memenangi final, dan itu sangat hebat.”

Flick kini memenangi kesemua lapan perlawanan akhir yang disertainya sebagai jurulatih, termasuk dua kemenangan ke atas Madrid musim lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top