Pertembungan Salah, Mane jadi tumpuan separuh akhir AFCON

Pertembungan Salah, Mane jadi tumpuan separuh akhir  AFCON

Marrakesh, Maghribi: Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) kini memasuki peringkat separuh akhir dan kejohanan yang setakat ini kurang kejutan menyajikan dua pertembungan menarik, dengan tuan rumah Maghribi berusaha mengekang cabaran kuasa-kuasa besar benua Afrika.

Mesir yang diketuai Mohamed Salah, Nigeria diterajui Victor Osimhen dan Senegal dengan bintang mereka Sadio Mane masih bersaing untuk menjulang trofi di Rabat pada Ahad depan, meskipun kelebihan bermain di laman sendiri menjadikan Maghribi pasukan pilihan.

Naib juara separuh akhir Piala Dunia 2022, Maghribi adalah pasukan nombor satu Afrika dan akan turun menentang Nigeria dalam separuh akhir, awal pagi Khamis ini dengan rekod tanpa kalah sejak tewas kepada Afrika Selatan pada AFCON terdahulu.

Pasukan kendalian Walid Regragui itu hanya bolos satu gol dalam lima perlawanan setakat ini, manakala keraguan terhadap keupayaan mereka mengendalikan tekanan besar sebagai tuan rumah lenyap selepas kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Cameroon pada suku akhir.

Kapten pasukan dan Pemain Terbaik Afrika semasa, Achraf Hakimi, kembali cergas selepas kecederaan manakala pemain sayap Real Madrid, Brahim Diaz yang menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan muncul sebagai calon pilihan pemain terbaik kejohanan.

“Dia boleh menjadi pemain terbaik dunia jika dia mahu,” kata Regragui selepas perlawanan menentang Cameroon.

Maghribi kini dilihat sebagai kuasa utama Afrika dan tidak seperti Nigeria, sedang membuat persiapan ke Piala Dunia.

Namun, rekod mereka dalam Piala Negara-Negara Afrika sepanjang sejarah agak mengecewakan. Ini kemunculan pertama mereka di separuh akhir sejak 2004, ketika mereka tewas kepada Tunisia di pentas final.

Lebih jauh ke belakang, Maghribi pernah menewaskan Nigeria dalam laluan menjulang kejuaraan pada 1976 dan setengah abad kemudian, itu masih menjadi satu-satunya gelaran benua yang mereka miliki.

Nigeria kembali ke Maghribi dengan misi membuktikan kemampuan selepas kekalahan penentuan penalti kepada Republik Demokratik Congo dalam aksi play-off di Rabat pada November lalu menamatkan impian mereka untuk layak ke Piala Dunia.

Walaupun dijangka 10 negara Afrika akan beraksi di Piala Dunia, ketiadaan Nigeria sebuah negara dengan tradisi bola sepak kuat dan populasi terbesar di Afrika dianggap sesuatu yang mengejutkan.

Namun, prestasi mereka sepanjang tiga minggu lalu membuktikan kegagalan itu sudah dilupakan. Diketuai dua bekas Pemain Terbaik Afrika, Osimhen dan Ademola Lookman, mereka muncul sebagai pasukan paling produktif kejohanan dengan 14 gol.

“Tiada apa-apa,” kata jurulatih Eric Chelle, yang dilantik tepat setahun lalu ketika ditanya perubahan pasukan sejak kegagalan kempen kelayakan Piala Dunia. “Ini pasukan yang sama. Bezanya cuma mereka semakin baik kerana mereka faham apa yang saya mahukan.”

Kejutan hampir tidak berlaku dalam AFCON kali ini, namun kehadiran Nigeria bermakna empat daripada lima pasukan terbaik Afrika berada di separuh akhir kecuali Algeria yang disingkirkan oleh Super Eagles, kelmarin.

Satu lagi separuh akhir di Tangiers mempertemukan Mesir dan Senegal, ulangan final 2022 yang dimenangi Lions of Teranga menerusi penentuan penalti.

Senegal yang berada di ranking kedua Afrika dan ke-19 dunia, dilihat sebagai ancaman terbesar kepada Maghribi. Mereka memiliki skuad berpengalaman termasuk Mane, yang bakal berdepan bekas rakan sepasukan di Liverpool, Salah.

Kehadiran mereka bermakna lima pemain terakhir yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika semuanya berada di peringkat separuh akhir.

Salah, yang seperti Osimhen menjaringkan empat gol dalam kejohanan ini, masih belum pernah memenangi AFCON selepas dua kali tewas di final.

Beliau tiba di Maghribi ketika kedudukannya di kelab mula goyah, namun dilihat kembali ceria bersama pasukan kebangsaan ketika berusaha membawa Mesir merangkul kejuaraan kelapan, satu rekod baharu.

“Saya memenangi hampir semua trofi, tetapi inilah yang saya tunggu-tunggu,” kata Salah selepas kemenangan suku akhir ke atas Ivory Coast, sebelum menegaskan Mesir bukan pasukan pilihan.

“Kami akan menentang pasukan-pa sukan sangat kuat, kebanyakannya mempunyai pemain beraksi di Eropah, yang menjadikan keadaan lebih mudah buat mereka.

“Kami juga mempunyai pemain bagus, tetapi kebanyakannya bermain di Mesir. Kami hanya ada tiga pemain beraksi di luar negara dan semuanya berada dalam situasi sukar tiada seorang pun yang bermain secara tetap dengan kelab mereka sekarang,” tambahnya, merujuk secara tidak langsung kepada masalah sendiri di Anfield.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top