Baitulmaqdis: Polis Israel semalam menahan seorang pembantu kanan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang disyaki menghalang siasatan berhubung kebocoran maklumat ketenteraan sulit ketika perang di Gaza.
Walaupun polis tidak mendedahkan identiti individu terbabit, media tempatan melaporkan suspek ialah Tzachi Braverman yang kini berkhidmat sebagai Ketua Kakitangan Pejabat Perdana Menteri Israel.
Braverman sebelum ini sudah dinamakan sebagai calon Duta Israel ke Britain bagi menggantikan penyandang sedia ada.
Dalam satu kenyataan, polis mengesahkan bahawa seorang pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri ditahan pagi tadi untuk disoal siasat atas syak wasangka menghalang proses siasatan.
Menurut kenyataan itu, suspek kini disoal siasat bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Penahanan itu dipercayai berkait dengan dakwaan bekas pembantu Netanyahu, Eli Feldstein berhubung cubaan menghalang siasatan kebocoran maklumat sensitif tentera kepada media asing.
Feldstein sebelum ini ditahan dan didakwa selepas membocorkan dokumen ketenteraan yang diklasifikasikan kepada akhbar tabloid Jerman, Bild pada September 2024.
Dokumen berkenaan digunakan untuk menyokong dakwaan Netanyahu bahawa tebusan pada serangan 7 Oktober 2023 hanya boleh dibebaskan melalui tekanan ketenteraan.
Dalam satu temu bual bersama penyiar awam KAN, Feldstein mendakwa Braverman memberitahunya bahawa beliau mempunyai keupayaan untuk ‘menutup’ siasatan dalaman tentera.
Feldstein turut mendakwa bahawa Netanyahu menyedari mengenai kebocoran dokumen itu dan menyokong penggunaannya untuk meraih sokongan rakyat terhadap operasi ketenteraan di Gaza.
Susulan penahanan itu, polis dilaporkan turut menggeledah kediaman Braverman bagi mencari bukti tambahan berkaitan pembabitannya dalam skandal terbabit.
Ketua Pembangkang, Yair Lapid dalam reaksinya mendesak supaya pelantikan Braverman sebagai duta ke Britain digantung serta-merta sementara siasatan dijalankan.
Katanya, adalah tidak wajar bagi individu yang disyaki terbabit dalam menghalang siasatan keselamatan yang serius mewakili negara di peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




