Moraes pintas Bergson, rampas takhta penjaring terbanyak Liga Super

Moraes pintas Bergson, rampas takhta penjaring terbanyak Liga Super

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes kembali menjadi tumpuan apabila merampas kedudukan pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super musim ini selepas meledak empat gol dalam satu perlawanan.

Aksi cemerlang penyerang kelahiran Brazil itu membantu Selangor menewaskan DPMM FC 5-2 pada perlawanan yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai mesin gol paling berbisa ketika ini.

Selain Chrigor, satu lagi jaringan Selangor disumbangkan oleh Nooa Laine Hamzah yang turut memainkan peranan penting memastikan tiga mata penuh dibawa pulang oleh skuad Gergasi Merah.

Empat gol yang dihasilkan Chrigor menyaksikan dia kini mengumpul 16 jaringan keseluruhan, sekali gus mendahului carta penjaring dengan kelebihan tiga gol berbanding pencabar terdekatnya.

Dua penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Jairo da Silva yang sebelum ini berada kedudukan teratas, kini terpaksa berpuas hati menghuni tangga kedua.

Kedua-dua penyerang kebangsaan Brazil itu gagal menambah koleksi gol masing-masing ketika JDT berdepan Negeri Sembilan FC di Paroi pada 9 Januari lalu.

Situasi berkenaan menyaksikan Bergson mengumpul 12 koleksi gol manakala Jairo 12 jaringan, sekali gus membuka ruang buat Chrigor mencipta jurang selesa dalam perebutan Kasut Emas Liga Super.

Di tangga keempat pula, penyerang Kuching City FC, Ronald Ngah Wanja mengumpul sembilan gol, manakala Safawi Rasid berada di kedudukan kelima dengan lapan jaringan setakat ini.

Safawi turut mencuri perhatian apabila muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Super musim ini, mengatasi beberapa nama besar lain dalam kalangan pemain tempatan.

Dia bagaimanapun dicabar rapat pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi yang sudah meledak tujuh gol dan dijangka terus memberi tekanan dalam perlumbaan penjaring tempatan.

Persaingan sengit antara Chrigor, Bergson dan Jairo dijangka semakin hangat apabila Liga Super memasuki hari perlawanan ke-16 pada 13 dan 14 Januari ini.

Ujian seterusnya menyaksikan JDT menagih sentuhan berbisa Bergson dan Jairo ketika menentang Kuching City pada Rabu ini, manakala Selangor pula mempertaruhkan ketajaman Chrigor dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan FC pada hari yang sama.

*Senarai penjaring Liga Super*

1-Chrigor Moraes (Selangor) -16 gol

2-Bergson Da Silva (JDT) – 13 gol

3-Jairo Da Silva (JDT) – 12 gol

4-Wanja Ronald Ngah (Kuching City) – 9 gol

5-Safawi Rasid (KL City) – 8 gol

6-Ajdin Mujagic (Sabah) – 7 gol

7-Arif Aiman Hanapi (JDT) – 7 gol

8-Dylan Wenzel Halls (Penang) – 7 gol

9-Eduardo Sosa (Imigresen) – 6 gol

10-Tchetche Kipre (Penang) – 6 gol

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top