WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Cuba supaya segera membuat perjanjian atau berdepan kesannya, sambil menegaskan tiada lagi minyak atau wang dari Venezuela akan disalurkan ke negara Caribbean itu.
Trump meningkatkan nada ancamannya pada Ahad ketika Cuba, sekutu rapat Venezuela dan penerima utama bekalan minyak negara itu bersiap sedia menghadapi kemungkinan pergolakan besar-besaran susulan penyingkiran Nicolás Maduro sebagai pemimpin Venezuela.
“TIADA LAGI MINYAK ATAU WANG AKAN DISALURKAN KE CUBA – SIFAR!. Saya amat mengesyorkan mereka membuat perjanjian, SEBELUM TERLAMBAT,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Bagaimanapun, Trump tidak menjelaskan bentuk perjanjian yang dimaksudkan.
Venezuela merupakan pembekal minyak terbesar kepada Cuba. Namun, di tengah sekatan minyak ketat oleh AS, data perkapalan menunjukkan tiada kargo minyak meninggalkan pelabuhan Venezuela menuju ke Cuba sejak penangkapan Maduro oleh tentera AS minggu lalu.
Puluhan anggota keselamatan Venezuela dan Cuba dilaporkan terbunuh dalam serbuan AS itu.
Susulan kejadian tersebut, Trump menyatakan Cuba kini ‘bersedia untuk jatuh’, merujuk kepada krisis ekonomi serius yang melanda pulau itu serta kesukaran Havana untuk bertahan tanpa bekalan minyak murah dari Venezuela.
Dalam kenyataan berasingan pada Ahad, Trump berkata, Cuba hidup selama bertahun-tahun dengan sejumlah besar minyak dan wang dari Venezuela.
Sebagai balasan katanya, Cuba menyediakan perkhidmatan keselamatan kepada dua diktator terakhir Venezuela.
“KINI TIDAK LAGI,” kata Trump, sambil mendakwa kebanyakan anggota keselamatan Cuba terbunuh dalam serangan AS minggu lalu dan Venezuela tidak lagi memerlukan perlindungan daripada kumpulan yang disifatkannya sebagai samseng dan pemeras ugut.
Sementara itu, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, berikrar untuk mempertahankan negaranya daripada sebarang ancaman.
“Cuba adalah sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat. Tiada siapa boleh mengarahkan kami apa yang perlu dilakukan,” tulisnya di platform X.
Diaz-Canel turut menegaskan bahawa Cuba bersedia mempertahankan tanah air hingga titisan darah terakhir.
Dalam perkembangan berkaitan, Caracas dan Washington sedang berunding mengenai perjanjian bernilai AS$2 bilion bagi membekalkan sehingga 50 juta tong minyak Venezuela kepada AS, dengan hasil jualan dimasukkan ke dalam akaun yang diselia Perbendaharaan AS.
Perjanjian itu dilihat sebagai ujian hubungan antara Trump dan presiden sementara Venezuela, Delcy Rodríguez.
Kenyataan Trump dibuat sehari selepas AS menggesa rakyatnya supaya meninggalkan Venezuela dengan segera, berikutan laporan bahawa kumpulan separa tentera bersenjata cuba menjejaki warga AS di negara itu.
Dalam amaran keselamatan yang dikeluarkan pada Sabtu, Jabatan Negara AS memaklumkan terdapat laporan mengenai anggota milisia pro-rejim, dikenali sebagai colectivos, yang mendirikan sekatan jalan raya dan memeriksa kenderaan bagi mengenal pasti warga AS atau penyokong mereka. -AGENSI




