PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digesa mengkaji semula pelaksanaa Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) berkata, MOT dan MAHB perlu mengkaji semula terutama berkaitan penguatkuasaan penalti semasa waktu puncak yang menjejaskan golongan pemandu e-hailing.
Menurutnya, sistem tersebut mewujudkan ketidakadilan kepada pemandu e-hailing terutama ketika waktu puncak seperti cuti musim perayaan apabila aliran trafik berada pada tahap yang sangat tinggi.
“Tempoh 10 minit pertama tanpa penalti yang ditetapkan oleh MAB adalah tidak mencukupi ketika waktu puncak, kerana banyak situasi di lapangan memerlukan masa tambahan untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan menguruskan bagasi.
“Dalam situasi itu, kelewatan sering berpunca daripada faktor di luar kawalan pemandu, antaranya kesukaran mendapatkan ruang berhenti atau menurunkan penumpang akibat kesesakan di laluan masuk,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sistem VAMS memberikan caj percuma untuk pengguna kenderaan menghantar atau mengambil penumpang untuk tempoh kurang 10 minit, tetapi caj penalti dikenakan untuk minit berikutnya.
Bagi tempoh 10:01–15:00, caj penalti adalah sebanyak RM10, 15:01–20:00 (RM30); 20:01–25:00 (RM60) dan 25:01–30:00 (RM100).
Mengulas lanjut, LEAD berkata, kelewatan juga berlaku ketika menurunkan bagasi khususnya melibatkan penumpang yang ramai, warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) atau penumpang yang membuat bayaran secara tunai selain kesesakan semasa keluar dari laluan menurunkan penumpang.
“Malangnya, pemandu tetap dikenakan penalti walaupun kelewatan tersebut berlaku akibat situasi tersebut. Kami menegaskan bahawa sistem yang masih belum stabil tidak wajar disertakan dengan hukuman automatik, lebih-lebih lagi semasa waktu puncak yang sememangnya berisiko tinggi untuk berlaku kesesakan dan kelewatan,” katanya.
Sementara itu, LEAD berkata, pihaknya mencadangkan supaya penalti VAMS digantung semasa waktu puncak selain semakan semula had masa yang lebih realistik mengikut situasi trafik sebenar, termasuk memperluas tempoh percuma melebihi 10 minit ketika waktu puncak.
Katanya, MOT dan MAB juga perlu mengadakan libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO); persatuan berkaitan e-hailing dan penyedia platform VAMS supaya situasi menang-menang dapat dicapai.
“MOT dan MAHB juga digesa membuka laluan lorong kiri yang dikhususkan untuk VIP yang jarang digunakan. Ia boleh ditutup apabila ada keperluan.
“Pada kebanyakan masa, laluan itu kosong dan tidak digunakan. Pada tahun baharu 2026 ini, kita perlu melangkah ke hadapan dan mengutamakan rakyat berbanding VIP,” katanya.
Tambahnya, sebagai pintu masuk utama negara, sistem pengurusan trafik di KLIA mesti bersifat adil, fleksibel dan berpaksikan realiti operasi sebenar, bukan semata-mata bergantung kepada algoritma dan penalti automatik.
“Kami berharap pihak berkuasa tidak menutup mata terhadap beban yang sedang ditanggung oleh pemandu akibat pelaksanaan sistem yang masih lemah di bawah pengurusan MAHB,” katanya. – UTUSAN




