am@hmetro.com.my
Foto Khirrul Nirwan Bahaudin
Bentong : Pahang menjadi negeri pertama di negara ini yang melaksanakan dan meneruskan Program Tunas Makmur sejak 2022 bagi meringankan beban persekolahan anak negeri, khususnya daripada golongan miskin dan miskin tegar.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan program bagi tahun 2026 di bawah Inisiatif Makmur Pahang itu membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.
Menurutnya, program berkenaan menyediakan set bantuan peralatan pembelajaran lengkap dan berjenama bernilai RM100 merangkumi beg sekolah, alat tulis serta kelengkapan pembelajaran, manakala pelajar sekolah menengah turut menerima kalkulator saintifik dan set geometri.
“Sebagai penambahbaikan tahun ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100 yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 68,000 pelajar dijangka menerima manfaat program berkenaan, membabitkan semua murid Tahun Satu serta pelajar miskin tegar dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima, dengan siling peruntukan keseluruhan RM14.8 juta.
Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Bookstore turut menyediakan Kad Diskaun 30 peratus kepada semua pelajar termasuk pelajar tadika dan institusi pengajian tinggi (IPT), selain guru dan pensyarah di seluruh Pahang.
“Bantuan ini akan disampaikan secara serentak pada hari pertama persekolahan di semua sekolah di seluruh negeri,” katanya.
Terdahulu, beliau mengunjungi Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bentong bagi menyerahkan set bantuan peralatan pembelajaran kepada 130 pelajar sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menasihatkan pelajar agar memanfaatkan bantuan diterima dengan sebaiknya dan terus berusaha gigih dalam pelajaran.
“Kerajaan negeri kekal komited memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak Pahang terus menjadi keutamaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




