London: Naskhah jarang jumpa komik terbitan 1938 yang memperkenalkan watak Superman kepada dunia mencatatkan sejarah apabila terjual kepada seorang pengumpul pada harga AS$15 juta (kira-kira RM63.3 juta).
Memetik laporan BBC, jualan persendirian salinan Action Comics No 1 itu diumumkan pada Jumaat lalu, sekali gus memecahkan rekod dunia bagi kategori jualan buku komik paling mahal setakat ini.
Naskhah berkenaan mempunyai sejarah unik kerana pernah dicuri daripada rumah pelakon terkenal Hollywood, Nicolas Cage, sebelum dipulangkan semula kepadanya lebih sedekad kemudian.
Rekod jualan sebelum ini dicatatkan pada November lalu menerusi naskhah Superman No 1 yang berada dalam keadaan sempurna dan meraih AS$9.12 juta (kira-kira RM38.49 juta) dalam satu lelongan.
Kedua-dua nilai jualan ini jauh melebihi tanda harga asal ketika ia mula diterbitkan iaitu hanya AS$0.10 sen atau bersamaan kira-kira AS$2.25 (kira-kira RM9.50) dalam nilai mata wang hari ini.
Kemunculan sulung Superman dalam Action Comics No 1 diiktiraf secara meluas sebagai perintis yang mendefinisikan genre adiwira seperti yang dikenali masyarakat dunia pada masa kini.
Sehingga kini, kurang daripada 100 naskhah komik berkenaan dipercayai masih wujud di seluruh dunia, menjadikannya antara barangan koleksi paling diburu oleh pengumpul.
Buku komik itu dilaporkan hilang dicuri semasa satu majlis di rumah bintang filem National Treasure pada 2000 sebelum ditemukan semula di dalam storan di California pada 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif Metropolis/ComicConnect, Stephen Fishler berkata, tempoh kehilangan selama 11 tahun itu secara tidak sengaja menyebabkan nilai komik itu melambung tinggi dan memberikan keuntungan besar kepada Cage.
© New Straits Times Press (M) Bhd




