am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pemindahan ladang penternakan babi ke lokasi khas di kawasan Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan pada tahun ini berbanding perancangan terdahulu yang dijangka pada tahun 2030.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, langkah awal yang perlu diambil adalah penyelesaian isu tanah di Bukt Tagar termasuk status pemilikan tanah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan berkenaan.
“Sekarang kena percepatkan pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang, tetapi tiada sumber kewangan daripada kerajaan negeri digunakan untuk sebarang projek ini.
“Kita akan cuba secepat mungkin untuk selesaikan isu tanah ini dan dan kita akan bincang juga kaedah macam mana untuk memudahkan penternak dapat pindah ke Bukit Tagar yang berkeluasan 202 hektar.
“Di Bukit Tagar itu bukan tanah kerajaan sebaliknya tanah ladang kelapa sawit milik seorang individu, sangat jauh dari kawasan penduduk, penempatan orang ramai.
“Syarat diperketatkan dengan menggunakan konsep pertanian moden, tertutup, tiada kumbahan mengalir keluar, mesti ada dengan zon penampan besar antara ladang ke ladang dan sempadan luar, ada sistem ZDP (Zero Discharge Policy) dan ladang dibuat secara tertutup seperti penternakan ayam,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di SUK di sini hari ini.
Izham berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan dengan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di daerah Kuala Langat.
“Kita tidak akan keluarkan lesen itu, tetapi saya akan bawa perkara ini ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini.
” (Lesen)… kita hanya akan keluarkan untuk tempat yang baharu nanti di Bukit Tagar nanti. Saya akan bawa dulu ke MMKN dan perlu mendapatkan persetujuan menerusi mesyuarat itu.
“Selepas pemindahan ladang babi berkenaan, tanah di tapak ladang akan dipulihkan semula dan dirawat sebelum dapat digunakan semula tanah untuk tujuan pertanian,” katanya.
Beliau berkata, rekod setakat ini terdapat 115 ladang penternakan babi di seluruh Selangor termasuk yang beroperasi secara haram.
“Ladang ada 115 tetapi pemiliknya ada setengah itu memiliki dua hingga tiga ladang. Jadi kita akan panggil semua yang terbabit untuk proses pemindahan nanti dan selepas ini semua ladang di Kuala Langat dan Sepang akan ditutup sepenuhnya,” katanya.
Itu antara perkara yang disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan pagi tadi.
Beliau yang memasuki perkarangan Istana pada jam 9.45 pagi mengambil masa kira-kira 45 minit bagi menyembah maklum berhubung isu penternakan babi di negeri ini.
Terdahulu media melaporkan, Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




