Arsenal bukan Set Piece FC

Arsenal bukan Set Piece FC

London: Jurulatih baharu Chelsea, Liam Rosenior menolak tanggapan corak permainan Arsenal ketinggalan zaman apabila memberi tumpuan besar kepada situasi bola mati di bawah kendalian Mikel Arteta.

“Saya tak tahu siapa yang memanggil mereka ‘Set Piece FC’ tetapi saya jelas bukan orangnya,” kata Rosenior semalam menjelang pertemuan pertama separuh akhir Piala Liga Inggeris antara kedua-dua pasukan di Stamford Bridge, pada awal pagi Khamis.

Arsenal mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan enam mata, selain turut mendahului Liga Juara-Juara selepas mencatat enam kemenangan daripada enam perlawanan dalam fasa liga, dan hampir tidak menunjukkan kelemahan dalam usaha memburu trofi pertama sejak menjuarai Piala FA pada 2020, di penghujung musim pertama Arteta sebagai pengendali.

Situasi bola mati aspek menjadi tumpuan Arteta dan Arsenal kini antara pasukan paling berbahaya di England dalam aspek ini, terutamanya selepas pertahanan tengah Brazil, Gabriel Magalhães, kembali cergas.

“Arsenal bagus dalam semua perkara,” kata Rosenior. “Mereka pasukan yang baik. Ini bukan soal membawa permainan kembali ke masa lalu. Anda menguruskan kelebihan 1% anda untuk menjadi pasukan sebaik mungkin dan menang dengan pelbagai cara.”

“Mereka juga pasukan sangat bagus tanpa bola,” tambah Rosenior, yang dilantik minggu lalu sebagai pengganti Enzo Maresca yang meninggalkan kelab.

“Mereka mempunyai idea sangat, sangat jelas tentang cara mereka mahu bermain dengan bola. Selain itu, mereka sangat tersusun dengan baik serta mempunyai hantaran bola mati yang berkualiti. Itulah yang anda perlukan jika mahu berjaya.”

Perlawanan pertama Rosenior sebagai pengendali Chelsea berakhir dengan kemenangan 5-1 ke atas pasukan divisyen dua, Charlton Athletic, dalam pusingan ketiga Piala FA, Sabtu lalu.

Beliau merehatkan pemain antarabangsa England, Cole Palmer dan Reece James, kerana tahap kecergasan mereka sedang “dipantau,” kata Rosenior, dan kedua-duanya berkemungkinan kembali menentang Arsenal.

Perlawanan timbal balik kedua akan berlangsung di gelanggang Arsenal pada 3 Februari.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Newcastle menentang Manchester City. Perlawanan pertama akan berlangsung di Newcastle, awal pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top