Cenergi Sea, Malaysia Airports secara bersama bangunkan projek tenaga solar, bateri

Cenergi Sea, Malaysia Airports secara bersama bangunkan projek tenaga solar, bateri

Kuala Lumpur: Cenergi SEA Bhd dan KLIA Aeropolis Sdn Bhd secara bersama membangunkan loji jana kuasa fotovoltaik (PV) solar berskala besar berkapasiti 36 megawatt-puncak (MWp), yang disepadukan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 45 megawatt-jam (MWh) di bawah program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SELCO).

Cenergi ialah anak syarikat UEM Lestra Bhd, manakala KLIA Aeropolis adalah anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports).

Projek itu, yang dilaksanakan oleh Cenergi Aeropolis Renewable Energy Sdn Bhd (CARE), adalah usaha sama antara Cenergi dan KLIA Aeropolis, akan dibangunkan di kawasan KLIA Aeropolis.

Loji jana kuasa berkenaan direka untuk membekalkan tenaga bersih dan tenaga boleh baharu secara langsung bagi operasi lapangan terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Penyepaduan sistem penyimpanan tenaga meletakkan projek ini sebagai antara pembangunan solar penggunaan sendiri berskala besar yang terawal di Malaysia menggabungkan BESS, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan tenaga dan kecekapan operasi,” kata Cenergi, Malaysia Airports dan Aeropolis dalam satu kenyataan dalam satu kenyataan bersama, baru-baru ini.

Setelah siap, kemudahan solar dan BESS dan CARE dijangka menjana 46 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun sepanjang jangka hayat projek selama 25 tahun.

“Projek ini diunjurkan dapat mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 35,000 tan setahun, bersamaan dengan mengeluarkan sekitar 8,000 kenderaan dari jalan raya atau membekalkan tenaga kepada 13,400 rumah setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata, inisiatif berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sifar Bersih Malaysia Airports, sekali gus menyokong sasaran untuk mencapai campuran tenaga boleh baharu sebanyak 20 peratus menjelang 2030 dan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050.

“Penyepaduan penjanaan solar di lokasi dengan sistem penyimpanan tenaga elektrik menyediakan tenaga bersih kepada KLIA sambil meningkatkan daya tahan tenaga dan memajukan komitmen kemampanan jangka panjang kami,” katanya.

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Kwok Yew Hoe berkata, projek CARE berkenaan bakal menandakan penggunaan BESS pertama Cenergi yang disepadukan dengan kemudahan solar berskala besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top