mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan bantuan serta sokongan daripada ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan dasar integriti dan tatakelola baik yang dirancang berjaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memerlukan sumbangan pemikiran dan idea daripada ahli akademik biarpun tiada jalinan kerjasama persefahaman dengan semua universiti.
Menurutnya, SPRM sebagai agensi pelaksana urusan anti rasuah dalam negara perlu membantu kerajaan untuk mewujudkan tatakelola yang baik termasuk berkaitan integriti.
“Banyak perkara berkaitan ini perlu kami usahakan. Jadi saya sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti termasuk jalinan kerjasama seperti dilakukan bersama HELP University, sangat memerlukan bantuan daripada ahli-ahli akademik untuk membantu negara dalam urusan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (Mou) SPRM dan HELP University di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menyentuh memorandum persefahaman itu, Azam berkata, ia menjadi satu hari yang bersejarah dan signifikan kerana kerjasama antara HELP University dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sudah mencecah lebih 16 tahun.
“Banyak perkara dapat SPRM sumbangkan dan begitu juga HELP sumbangkan kepada MACA dan kali ini kita akan lebih aktif dan agresif lagi dengan HELP University dalam membangunkan banyak subjek termasuk jenayah ekonomi dan jenayah kewangan dalam menguruskan hal-hal berkaitan integriti, subjek integriti dan tatakelola,” katanya.
Sementara itu, Canselor HELP University, Datuk Dr Paul Chan berkata, kerjasama antara universiti terbabit dan SPRM merangkumi latihan eksekutif, pendidikan pascasiswazah, pensijilan profesional, penyelidikan, penerbitan dan pembabitan dasar, tetapi ia tidak hanya melatih individu sebaliknya turut membina sebuah ekosistem nasional dengan kepimpinan berintegriti.
“Saya masih ingat menandatangani MoU yang pertama dengan SPRM beberapa tahun lalu. Oleh itu, saya amat gembira bahawa hari ini kita memperbaharui kerjasama berasaskan kepercayaan ini demi perkhidmatan kepada negara.
“Malah, bila bertemu Azam di SPRM dua tahun lalu, saya terdorong dengan sokongan beliau untuk memperdalam dan memperbaharui perkongsian ini.
“Melalui pengurusan Azam di SPRM, beliau sangat menekankan bukan sahaja penguatkuasaan, tetapi juga pengukuhan institusi, profesionalisme dan kepercayaan awam.
“Kita mengiktiraf bahawa perjuangan jangka panjang menentang rasuah juga bergantung kepada pendidikan, kepimpinan beretika dan pembangunan kapasiti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




