London: Pemain tengah Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur menjalani pembedahan pada hamstring kanan selepas mengalami kecederaan ketika kekalahan 2-3 di tangan Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.
Laporan media Britain menyebut pemain Uruguay itu mungkin terpaksa diketepikan selama tiga bulan.
Spurs turut kehilangan khidmat pemain tengah menyerang, James Maddison, akibat kecederaan ACL, manakala seorang lagi pemain tengah, Lucas Bergvall, turut mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Bournemouth dan tidak beraksi ketika kalah 1-2 kepada Aston Villa di pusingan ketiga Piala FA, pada hujung minggu lalu.
“Kami mengesahkan Rodrigo Bentancur telah menjalani pembedahan pada hamstring kanannya dan kini akan memulakan proses pemulihan bersama pasukan perubatan kami,” menurut kenyataan Spurs di X pada Selasa.
Laporan media turut menyatakan Spurs sedang berbincang untuk mendapatkan pemain tengah England, Conor Gallagher dari Atletico Madrid bagi mengukuhkan usaha mereka menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk layak terus ke pusingan 16 terakhir.
Spurs yang akan menentang Borussia Dortmund dan Eintracht Frankfurt pada bulan ini, kini satu mata di belakang Atletico yang berada di tempat kelapan dalam saingan Eropah itu.
Kelab berpangkalan di London itu berada di tangga ke-14 EPL dan akan menerima kunjungan West Ham United pada Sabtu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




