'Biasanya arwah naik pesawat, kali ini naik MPV bersama rakan'

'Biasanya arwah naik pesawat, kali ini naik MPV bersama rakan'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Saya tidak menyangka pertemuan di majlis perkahwinan sepupu serta makan malam bersama keluarga dua minggu lalu adalah pertemuan terakhir saya dengan arwah Epul,” kata Siti Sarah Kamaruzaman, 39.

Siti Sarah adalah kakak kepada Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33, yang maut dalam kemalangan Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Paloh, tengah hari tadi yang turut mengorbankan dua rakan sekerjanya.

Katanya, ketika pertemuan itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa.

“Namun hari ini saya menerima khabar duka bahawa arwah terbabit kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pertemuan kami dua minggu lalu akan menjadi kenangan terakhir yang terpahat dalam ingatan sampai bila-bila.

“Sebelum keluar bekerja pada pagi tadi, arwah sempat meluangkan masa bermain bersama dengan dua anaknya yang berusia tiga tahun dan tujuh bulan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Siti Sarah berkata, arwah yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik sudah lebih 10 tahun bekerja di bawah syarikat bahan api kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.

“Kebiasaannya, setiap kali menghadiri kursus, arwah menaiki kapal terbang, namun kali ini arwah mengikuti kursus di Kuala Lumpur bersama rakan sekerjanya dengan menaiki kenderaan serba guna (MPV) dan dijangka pulang semula pada Jumaat ini.

“Namun, kami tidak menyangka menyambut jenazahnya pulang,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Keranji, Pengkalan Chepa pada pagi esok selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Gua Musang.

Media semalam melaporkan, tiga lelaki meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Paloh adalah rakan sekerja yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus.

Mereka yang maut adalah Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33; Nik Azmi Nik Othman, 47; dan Nik Razizi Nik Rahim, 55.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top