Holgado pertimbang bersara awal selepas digantung FIFA

Holgado pertimbang bersara awal selepas digantung FIFA

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Masa depan pemain naturalisasi negara, Rodrigo Holgado kini menjadi tanda tanya apabila penyerang itu dilaporkan sedang mempertimbangkan keputusan untuk bersara awal daripada arena bola sepak profesional.

Perkembangan itu tercetus susulan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atasnya akibat isu pemalsuan dokumen yang terus menghantui karier pemain kelahiran Argentina itu.

Wartawan bola sepak Colombia, Bombiro Quintero mendedahkan Holgado kini berada dalam keadaan terumbang ambing apabila masa depannya bersama kelab dan pasukan kebangsaan tidak lagi jelas.

Menurut Quintero, Holgado yang digantung sejak September lalu semakin serius memikirkan untuk menamatkan karier lebih awal walaupun masih berada pada usia yang sepatutnya berada di kemuncak prestasi.

“Rodrigo Holgado digantung oleh FIFA berhubung isu membabitkan pasukan kebangsaan Malaysia dan kini sedang mempertimbangkan keputusan drastik untuk bersara daripada bola sepak profesional,” katanya menerusi platform X.

Situasi itu bertambah rumit apabila Holgado masih mempunyai kontrak bersama kelab Colombia, America de Cali namun difahamkan tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

Untuk rekod, Holgado melakukan debut bersama Harimau Malaya ketika menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 tahun lalu sebelum terpalit dengan kes pemalsuan dokumen yang mencetuskan tindakan tegas FIFA.

Selain Holgado, enam lagi pemain turut dikenakan hukuman sama iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.

Kesemua pemain terbabit didenda CHF2,000 atau kira kira RM10,000 serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak di seluruh dunia selama setahun, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia turut dikenakan denda CHF350,000 bersamaan sekitar RM1.8 juta.

FIFA turut membatalkan keputusan tiga perlawanan antarabangsa yang menyaksikan pemain terbabit diturunkan secara tidak sah.

Dengan semua aksi itu direkodkan sebagai kekalahan 0 3 kepada Malaysia sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Harimau Malaya pada 2025 dan menyebabkan ranking FIFA negara jatuh ke tangga 121 dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top