ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Velodrom Rakyat di Ipoh disifatkan sebagai fasiliti yang amat penting untuk kelangsungan sukan berbasikal trek negara, namun memerlukan penyelesaian jangka panjang dan bukan sekadar baik pulih sementara.
Bekas pelumba berbasikal negara, Rosman Alwi menegaskan isu kerosakan velodrom itu bukan perkara baharu, malah sudah dibangkitkan sejak peringkat awal perancangannya lagi.
Menurut Rosman ketika dihubungi Arena Metro, beliau bersama arwah bapanya (Alwi Ahmad) pernah mengemukakan pandangan kepada panel berbasikal Perak termasuk jurutera yang terbabit ketika pembinaan velodrom itu, dengan dua cadangan utama bagi memastikan jangka hayat fasiliti berkenaan lebih panjang.
Cadangan pertama ialah membina trek 250 meter (m) dengan struktur separa tertutup supaya trek kayu tidak terjejas teruk akibat hujan, sekali gus memanjangkan hayat velodrom dengan penyelenggaraan berkala.
Cadangan kedua pula ialah pembinaan trek 250m menggunakan konkrit atau simen yang lebih tahan lama sekiranya dijaga dengan baik.
Bagaimanapun, semua pandangan itu tidak diberi perhatian walaupun dibuat berdasarkan pengalaman Rosman berlatih dan berlumba di Eropah, termasuk di Jerman, selain realiti cuaca Malaysia yang panas dan lembap serta tidak sesuai untuk trek kayu terbuka.
Kebimbangan sama turut disuarakan bekas pelumba trek negara, Josiah Ng yang mengibaratkan keadaan velodrom itu seperti kanser kerana masalah sama berulang sejak lebih 20 tahun lalu.
“Ia ibarat kanser. Kalau ada trek kayu yang terbuka, satu-satunya cara untuk selesaikan masalah ini ialah tindakan jangka panjang.
“Tak boleh selesaikannya secara sementara dengan hanya membaikinya. Trek itu mungkin tahan beberapa tahun sahaja, kemudian akan kembali kepada keadaan asal,” katanya.
Velodrom Rakyat Ipoh sebelum ini pernah menjadi venue bertaraf dunia apabila menjadi lokasi Kejohanan Dunia B UCI 1997 serta Siri Piala Dunia Trek 2000 dan 2001, namun kini tidak lagi selamat untuk latihan atau perlumbaan.
Josiah yang pernah membuat penampilan pertama di velodrom itu pada Siri Piala Dunia Trek 2000 menegaskan pemasangan bumbung adalah keutamaan mutlak sebelum sebarang kerja baik pulih dilakukan.
“Cara paling penting ialah pasang bumbung. Jangan buang satu sen pun untuk baik pulih sehingga bumbung dipasang. Jika tiada bumbung, tiada maknanya. Ia ibarat gajah mati,” katanya.
Sebagai penyelesaian kekal, Josiah mencadangkan dua pilihan sama ada memasang bumbung sepenuhnya atau menukar permukaan trek kepada aluminium yang direka untuk menahan cuaca ekstrem dan lebih sesuai dengan iklim Malaysia.
Keadaan velodrom berkenaan kini berada pada tahap kritikal apabila fasiliti berbasikal trek itu disifatkan tidak selamat dan berbahaya untuk digunakan, sekali gus mendorong Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merayu campur tangan segera Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Presiden PKBM, Amarjit Singh Gill sebelum ini meluahkan kekecewaan apabila velodrom itu terbiar tanpa sebarang aktiviti latihan atau perlumbaan sejak lebih setahun lalu, dipercayai berpunca daripada masalah birokrasi serta isu saling menuding jari antara pihak terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




