Dalam masyarakat Islam di Malaysia, amalan melaungkan azan ketika memasuki rumah atau kedai baharu bukanlah sesuatu yang asing. Namun, amalan ini sering dipersoalkan oleh sebahagian pihak yang menganggapnya sebagai bidaah atau perbuatan khurafat kerana tidak dilakukan secara khusus oleh Nabi Muhammad SAW.
Persoalannya, benarkah azan untuk tujuan selain solat ini tidak mempunyai sandaran dalam agama?
Hakikatnya, terdapat dalil dan pandangan ulama yang menunjukkan bahawa azan bukan semata-mata terhad kepada panggilan solat, bahkan mempunyai fungsi yang lebih luas dari sudut rohani dan perlindungan diri.
Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa syaitan akan melarikan diri apabila mendengar azan. Dalam satu riwayat, Baginda menyatakan bahawa syaitan akan lari sejauh-jauhnya apabila azan dilaungkan sehingga tidak lagi mendengarnya. Hadis ini menjadi asas utama kepada kefahaman bahawa azan mempunyai kesan spiritual yang kuat dalam menghalau gangguan syaitan dan jin.
Berdasarkan kefahaman ini, para ulama sejak zaman salaf mengaplikasikan azan dalam konteks yang lebih luas. Antara kisah yang masyhur ialah peristiwa yang diriwayatkan oleh Imam Malik. Beliau menceritakan tentang Zayd bin Aslam yang dilantik mengurus sebuah kawasan lombong yang sering diganggu oleh jin sehingga mendatangkan mudarat kepada penduduk. Apabila aduan dikemukakan kepadanya, Zayd bin Aslam mencadangkan agar penduduk melaungkan azan dengan suara yang kuat.
Hasilnya, gangguan tersebut hilang dan tidak kembali berlaku. Imam Malik sendiri menyatakan kekagumannya terhadap kebijaksanaan cadangan tersebut.
Para ulama menjelaskan kekaguman Imam Malik itu berpunca daripada kefahaman Zayd bin Aslam terhadap hadis Nabi yang menyebut syaitan akan melarikan diri apabila mendengar azan. Ini menunjukkan bahawa amalan tersebut bukanlah rekaan semata-mata, tetapi berpunca daripada kefahaman mendalam terhadap nas syarak.
Menariknya, pandangan ini turut disokong sebahagian ulama yang sering dilabel sebagai Wahhabi. Antaranya ialah Syeikh Abdullah al-Jibrin yang menyatakan bahawa azan disyariatkan sebagai antara bentuk rawatan dan perlindungan, khususnya ketika berada di tempat yang tidak diketahui keadaannya, mendengar gangguan jin atau dalam rawatan ruqyah. Beliau menegaskan bahawa sebagaimana syaitan lari daripada zikir dan bacaan al-Quran, demikian juga mereka akan lari daripada azan.
Walaupun tidak terdapat contoh khusus daripada Nabi SAW yang menunjukkan Baginda melaungkan azan ketika memasuki rumah baharu, para ulama sepakat bahawa sesuatu amalan tidak semestinya dianggap bidaah hanya kerana Nabi tidak melakukannya secara spesifik. Prinsip penting dalam memahami agama ialah melihat kepada dalil umum, kaedah syarak dan tujuan amalan tersebut.
Hal ini dapat difahami melalui contoh ruqyah dalam kalangan sahabat Nabi. Terdapat sahabat yang meruqyah seorang lelaki yang disengat kala jengking dengan bacaan al-Quran, walaupun kaedah tersebut tidak diajar secara langsung oleh Nabi. Namun, perbuatan itu diakui dan tidak diingkari oleh Baginda kerana terbukti membawa kesembuhan.
Oleh itu, menghukum sesuatu amalan sebagai bidaah atau khurafat semata-mata dengan alasan ‘Nabi tidak buat’ merupakan pendekatan yang sempit dan tidak selari dengan metodologi para ulama. Agama Islam perlu difahami secara menyeluruh dengan mengambil kira maqasid, kaedah umum dan amalan salaf.
Dalam kitab-kitab fiqh muktabar, para ulama turut membincangkan azan bagi tujuan selain solat. Antaranya disebut bahawa azan disunatkan sebagai bentuk mengambil keberkatan, menenangkan jiwa dan menghilangkan kegusaran. Mazhab Syafie khususnya memperluaskan perbincangan ini dengan menyatakan bahawa azan disunatkan dalam pelbagai keadaan seperti di telinga bayi yang baru lahir, ketika seseorang ditimpa kesedihan, dalam perjalanan, ketika berlaku kebakaran, gangguan makhluk halus, tersesat di jalanan, orang yang dirasuk, orang yang sedang marah, malah ketika menurunkan mayat ke dalam kubur.
Kesimpulannya, amalan melaungkan azan ketika memasuki rumah atau kedai baharu mempunyai sandaran daripada hadis, amalan salaf serta perbahasan para ulama muktabar. Ia bukanlah perbuatan khurafat, bahkan termasuk dalam bentuk zikir dan doa yang bertujuan memohon perlindungan serta keberkatan daripada Allah SWT. Yang penting, umat Islam perlu berlapang dada, memahami agama secara berilmu dan tidak tergesa-gesa melabel sesuatu amalan yang baik sebagai sesat tanpa penelitian yang adil.
Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
© New Straits Times Press (M) Bhd



