lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia melakar satu perkembangan strategik dalam landskap industri automotif negara apabila Motosikal Nasional Kedua, AFAZ Kencana Sport, secara rasmi diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di pejabat beliau di sini, hari ini.
Majlis penyerahan itu menjadi penanda aras kepada keberhasilan pelaksanaan dasar Automotive Manufacturing 2 (AM-2) yang diperkenalkan pada 2022, dengan tumpuan memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta membina rantaian nilai automotif bernilai tinggi secara menyeluruh.
Momentum dasar berkenaan diperkukuh pada 2023 menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara KMSB Motors Sdn Bhd dan Suzuki Motor Corporation dari Jepun, merangkumi kerjasama teknikal, pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta pembangunan modal insan industri dua roda tempatan secara berstruktur.
Hasil kerjasama strategik itu, projek AFAZ dibangunkan bukan sekadar sebagai produk komersial, sebaliknya sebagai platform pembangunan industri motosikal negara yang melibatkan kolaborasi jurutera tempatan, vendor industri serta rakan teknikal antarabangsa bagi mewujudkan ekosistem yang lebih berdaya saing.
AFAZ Kencana Sport diposisikan dalam segmen ‘underbone’, iaitu segmen volum tinggi yang menjadi tulang belakang pasaran motosikal Malaysia, sekali gus memberikan kelebihan dari sudut skala ekonomi, kecekapan pengeluaran serta potensi pulangan pelaburan jangka panjang.
Dari sudut teknikal, motosikal ini dikuasakan enjin moden yang mematuhi piawaian Euro 4, menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik serta pelepasan emisi lebih rendah, selari dengan keperluan kawal selia semasa dan hala tuju industri automotif ke arah kelestarian.
Reka bentuk casis yang dipertingkatkan turut memberi nilai tambah dari aspek kestabilan, kawalan dan keselamatan, sekali gus meningkatkan kebolehgunaan harian serta penerimaan pasaran, khususnya dalam kalangan pengguna yang menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama.
Keupayaan AFAZ Kencana Sport diperkukuh dengan sokongan teknologi enjin Suzuki yang terbukti daripada segi kebolehpercayaan dan ketahanan jangka panjang, sekali gus mengurangkan risiko pasaran dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti produk tempatan.
Pembangunan motosikal ini turut disasarkan kepada segmen pendapatan rendah dan pengguna arus perdana, dengan penekanan kepada kos penyelenggaraan yang rendah, ketahanan jangka panjang serta kemudahan pemilikan, selari dengan keperluan mobiliti harian rakyat yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama untuk bekerja dan urusan harian.
Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, AFAZ Kencana Sport turut dibangunkan selaras dengan piawaian antarabangsa dari aspek kejuruteraan dan keselamatan, sekali gus membuka peluang untuk menembusi pasaran ASEAN dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif serantau.
Penyerahan AFAZ Kencana Sport kepada Perdana Menteri hari ini mencerminkan kematangan pendekatan industri negara yang menggabungkan dasar progresif, kerjasama industri strategik dan keupayaan tempatan bagi membina industri motosikal nasional yang lebih berdaya saing serta mampan.
Hadir sama pada majlis penyerahan berkenaan adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KMSB Motors Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya; Pengarah Urusan, KMSB Motors Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing dan Timbalan Pengarah KMSB Motors Sdn Bhd, Awalludin Mohammed Lip.
TAMAT.
© New Straits Times Press (M) Bhd




