Terence Law atau lebih dikenali sebagai T-Rex Kamikaze kembali menghangatkan arena muzik tempatan menerusi EP terbaharu berjudul T-Rex Kembali Menyala.
Nama T-Rex cukup sinonim dalam kalangan peminat rock, terutama menerusi lagu-lagu popular bersama kumpulan Kamikaze seperti Luhur, Tawa Dalam Tangisan dan Pergi Selamanya, selain dikenali dengan penghayatan vokalnya yang kuat dan dekat dengan jiwa pendengar.
Selepas sekian lama menyepi tanpa album, kemunculan EP ini menandakan kepulangannya secara rasmi ke persada muzik. EP berkenaan mengetengahkan single utama Revive yang membawa makna kebangkitan dan ketahanan diri, manakala judul T-Rex Kembali Menyala pula ditafsir sebagai simbol kesinambungan seni serta semangat untuk bangkit semula.
Secara keseluruhan, EP ini memuatkan lima lagu yang merakam refleksi peribadi T-Rex melalui rock yang jujur, beremosi dan menggambarkan fasa perjalanan hidup serta kerjayanya.
T-Rex menjelaskan karya ini tidak dicipta untuk mengejar arus semasa atau membuktikan sesuatu kepada sesiapa, sebaliknya hadir sebagai ruang untuk muzik berbicara dengan caranya sendiri.
“Saya tak buat EP ini untuk ikut trend atau nak tunjuk apa-apa. Ini tentang bangun semula dan biar lagu-lagu ini bercakap. Saya harap peminat dengar dan rasai sendiri supaya mereka boleh faham apa yang ingin saya sampaikan,” katanya.
Walaupun muzik video rasmi masih dalam proses, peminat sudah boleh menikmati EP ini menerusi pelancaran digital, dengan kandungan visual tambahan akan diumumkan kemudian.
EP T-Rex Kembali Menyala juga sudah tersedia di YouTube, manakala Spotify dan Apple Music dijangka menyusul di platform digital dalam masa terdekat.
Mengimbas perjalanan bersama Kamikaze, kumpulan itu pernah mencatat sambutan besar dan kekal diingati peminat rock tempatan, termasuk pencapaian apabila Kamikaze memenangi Anugerah Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2001.



