Carrick diuji dalam derbi Manchester

Carrick diuji dalam derbi Manchester

Manchester: Michael Carrick bakal berada di kawasan teknikal buat kali pertama sebagai pengurus sementara Manchester United pada aksi derbi Manchester di Old Trafford, Sabtu ini, dengan tugasan menstabilkan pasukan yang bergelut sepanjang musim sejuk yang suram.

United kini berada di tangga ketujuh liga dengan hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan liga terakhir, manakala penyingkiran daripada Piala FA minggu lalu turut menjejaskan moral pasukan. Namun, kehadiran Carrick susulan pemecatan Ruben Amorim memberi sedikit sinar harapan.

Cabaran pertama Carrick adalah untuk mengatasi taktikal Pep Guardiola, yang menyaksikan pasukan kendaliannya, Manchester City, berada di tangga kedua liga, enam mata di belakang Arsenal, walaupun mencatat tiga keputusan seri berturut-turut.

Terdapat beberapa petanda positif buat United apabila Harry Maguire kembali cergas, manakala Bryan Mbeumo dan Amad Diallo pulang daripada tugasan Piala Negara-Negara Afrika, sekali gus menambah pilihan dalam skuad yang sebelum ini kelihatan kekurangan pemain.

City pula hadir dengan cerita tersendiri apabila pemain baharu Januari, Antoine Semenyo, mencuri tumpuan. Dua perlawanan, dua gol serta sorakan khas penyokong Etihad menyaksikan Semenyo menyuntik elemen tidak diduga dalam jentera mantap Guardiola.

Walaupun tiga keputusan seri menjejaskan kutipan mata City dalam perebutan kejuaraan, prestasi terkini mereka memberi gambaran kebangkitan semula, termasuk kemenangan besar 10-1 ke atas pasukan Divisyen Satu, Exeter City, dalam Piala FA serta kejayaan 2-0 ke atas Newcastle United pada separuh akhir Piala Liga, Selasa lalu.

Guardiola turut mengharapkan kepulangan Omar Marmoush daripada Piala Negara-Negara Afrika untuk mengurangkan beban serangan Erling Haaland yang disifatkan sebagai “keletihan”.

Pasukan Mesir kendalian Marmoush tewas 0-1 kepada Senegal pada separuh akhir kejohanan itu, Rabu lalu, namun City perlu menunggu sehingga perlawanan penentuan tempat ketiga, Sabtu ini, sebelum pemain berkenaan kembali.

Haaland, yang sekali lagi mendahului carta penjaring EPL dengan 20 gol, beraksi penuh termasuk 10 minit masa kecederaan pada perlawanan Selasa lalu. Namun, dia belum menjaringkan gol daripada permainan terbuka sejak kemenangan 3-0 ke atas West Ham United pada 20 Disember.

“Mudah-mudahan Omar kembali tidak lama lagi untuk memberi rehat kepada Erling kerana Erling berada dalam keadaan keletihan,” kata Guardiola.

Di tempat lain hujung minggu ini, Arsenal berpeluang mengukuhkan kedudukan di puncak liga apabila berdepan pasukan tangga ke-17, Nottingham Forest, di City Ground.

Liverpool pula menerima kunjungan Burnley pada Sabtu, dengan juara bertahan kendalian Arne Slot berada di tangga keempat liga, ketinggalan 14 mata di belakang Arsenal. Burnley bergelut dalam zon penyingkiran di tempat ke-19, lapan mata daripada zon selamat.

Sementara itu, Chelsea berusaha kembali mencabar kelompok empat terbaik liga apabila menjadi tuan rumah kepada Brentford yang berada di tangga kelima, Sabtu ini, selepas kemenangan liga terakhir mereka hadir menerusi kejayaan 2-0 ke atas Everton pada 13 Disember.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top