hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kadar pembiayaan tidak berbayar (NPL) bagi pembiayaan sektor perusahaan kecil dan sederhana kekal sekitar dua peratus, sekali gus membuktikan tahap pengurusan risiko yang mampan walaupun peruntukan jaminan pembiayaan ditingkatkan di bawah Belanjawan 2026.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi NPL yang terkawal itu menjadi asas keyakinan kerajaan untuk menaikkan had jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM30 bilion serta Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM20 bilion tanpa menjejaskan kestabilan sistem kewangan negara.
Jelasnya, kadar NPL sekitar dua peratus tersebut konsisten dengan prestasi tahun-tahun sebelumnya dan berada pada tahap yang boleh diurus.
“Peningkatan peruntukan kepada RM30 bilion SJPP bertujuan merancakkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan penekanan khusus kepada sektor dikenal pasti berimpak tinggi termasuk Bumiputera, halal, pelancongan serta industri bernilai tinggi dan pertumbuhan pesat.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, RM10 bilion diperuntukkan khusus kepada syarikat Bumiputera, satu lonjakan berbanding kadar pengambilan purata sebelum ini sekitar 25 peratus, selaras usaha meningkatkan penyertaan ekonomi Bumiputera secara lebih tersusun,” katanya pada majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2026, SJPP dan SJKP di sini, hari ini.
Pada Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM50 bilion iaitu RM30 bilion kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd bagi bagi membantu PKS dan usahawan mikro mendapatkan pembiayaan.
Manakala, sejumlah RM20 bilion kepada Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd untuk menyokong pembeli rumah pertama berpendapatan tidak tetap.
Amir berkata, SJKP yang ditambah baik kepada RM20 bilion memberi fokus kepada pembeli rumah pertama, khususnya mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal, bekerja sendiri atau berpendapatan tidak tetap yang sebelum ini sukar mendapatkan pembiayaan perumahan.
“Melalui jaminan kerajaan, golongan berkenaan kini mempunyai akses lebih mudah kepada pinjaman bank, termasuk bagi pembelian rumah yang harganya melebihi had kelayakan biasa institusi kewangan.
“Kerajaan turut menegaskan bahawa peningkatan jaminan tidak bermakna kelonggaran kawalan, sebaliknya saringan pinjaman kekal dilaksanakan secara bersama antara institusi kewangan dan pengurusan skim bagi mengekalkan kualiti pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, katanya, persekitaran ekonomi global yang mencabar sebelum ini memberi kesan kepada tahap keyakinan pelaburan dan permintaan pembiayaan, namun petunjuk semasa menunjukkan pemulihan yang lebih stabil.
“Ekonomi Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, termasuk kesan tarif dan ketidaktentuan geopolitik.
“Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih berada pada landasan positif apabila pertumbuhan tahun lalu diunjurkan antara 4 hingga 4.8 peratus dengan pencapaian suku ketiga mencecah 4.8 peratus,” katanya.
Tambahnya, pada tahun ini pertumbuhan ekonomi Malaysia dianggarkan berada antara 4 hingga 4.5 peratus, sekali gus mencerminkan asas ekonomi yang kukuh.
“Keyakinan terhadap ekonomi negara turut diperkukuh oleh penilaian institusi antarabangsa, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyemak semula unjuran ekonomi global ke arah lebih positif.
“Keadaan ini membuktikan daya tahan ekonomi dunia termasuk Malaysia adalah lebih baik daripada jangkaan awal, sekali gus memberi ruang kepada pelaburan dan aktiviti perniagaan untuk terus berkembang dalam suasana yang lebih stabil dan boleh diramal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




