Richarlison tersisih tujuh minggu akibat cedera hamstring

Richarlison tersisih tujuh minggu akibat cedera hamstring

London: Tottenham Hotspur menerima tamparan besar apabila penyerang utama mereka, Richarlison terpaksa berehat sehingga tujuh minggu akibat kecederaan hamstring, sekali gus menjejaskan perancangan pasukan menjelang aksi musuh tetangga menentang West Ham United malam esok.

Pengurus Spurs, Thomas Frank mengesahkan kecederaan pemain Brazil itu yang kini menjadi antara tonggak utama serangan kelab London utara itu.

“Richy malangnya mengalami kecederaan hamstring dan tempoh pemulihannya dianggarkan sehingga tujuh minggu,” kata Frank.

Ketiadaan Richarlison amat dirasai memandangkan dia sudah meledak tujuh gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sekali gus muncul antara penyumbang utama pasukan.

Kecederaan itu turut hadir pada saat Spurs cuba bangkit selepas kekecewaan tersingkir daripada Piala FA apabila tewas di laman sendiri 2-3 kepada Aston Villa, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Frank menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu terikat dengan status pertembungan musuh tetangga, sebaliknya perlu memberi fokus kepada prestasi sendiri.

“Sudah tentu ini aksi musuh tetangga besar menentang West Ham, tetapi yang paling penting adalah bagaimana kami beraksi dengan tenaga, sikap positif dan pendekatan menyerang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pemain tengah Mali, Yves Bissouma dijangka kembali bersama pasukan selepas tugasan antarabangsa, manakala Lucas Bergvall berpeluang disenaraikan.

Destiny Udogie dan Dominic Solanke pula semakin pulih sepenuhnya.

Ketua pasukan Cristian Romero akan kembali selepas selesai menjalani penggantungan satu perlawanan.

Tottenham kini berada di tangga ke-14 liga dengan 27 mata daripada 21 perlawanan, manakala West Ham masih bergelut di zon penyingkiran, tujuh mata di bawah zon selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top