Namlan, Myanmar: Junta Myanmar pada Rabu lalu memaklumkan bahawa pihaknya menyerbu tiga ‘makmal rimba’ dipercayai bertanggungjawab menghasilkan sepertiga daripada keseluruhan syabu yang dirampas di negara itu pada tahun lalu.
Negara Asia Tenggara itu sudah lama dikenali sebagai sarang perdagangan dadah haram. Bagaimanapun, penganalisis berpendapat bahawa perang saudara susulan rampasan kuasa tentera pada 2021 meningkatkan pengeluaran dan penyeludupan dadah.
Pelbagai puak pemberontak kini menguasai kawasan berbeza di Myanmar dan semua pihak dituduh menggunakan hasil dadah untuk membiayai peperangan serta pentadbiran mereka.
Wartawan AFP menyertai lawatan media anjuran tentera melalui runtuhan dua bekas makmal di selatan bandar Hsipaw, di timur laut negeri Shan.
Makmal berkenaan dikesan sebesar sebuah perkampungan kecil yang dilengkapi kemudahan jalan raya, kediaman serta infrastruktur kuasa dan air yang canggih.
Topeng gas dan sarung tangan getah bertaburan di lantai, manakala kemudahan pengeluaran paip masih berfungsi selain terdapat beberapa tong berisi syabu yang sedia untuk dihancurkan menjadi pil.
Jurucakap junta, Zaw Min Tun memberitahu wartawan di bandar Pyin Oo Lwin bahawa ia adalah rampasan dan pemusnahan terbesar oleh operasi antidadah dalam sejarah negara itu.
Polis percaya tiga kemudahan gabungan itu menghasilkan lebih sepertiga daripada 37 tan metrik syabu yang dirampas pada 2025.
Penilaian itu dibuat berdasarkan maklumat daripada pemberi maklumat serta perbandingan beg teh dan kopi yang digunakan penyeludup untuk menyembunyikan dadah berkenaan.
Tentera Myanmar memaklumkan mereka menemui makmal syabu berkenaan ketika merampas semula kawasan yang sebelum ini dikuasai pemberontak selepas pertempuran reda.
Katanya, penemuan itu membuktikan kaitan antara aktiviti kumpulan bersenjata dengan perdagangan gelap narkotik di wilayah bergolak berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




