Guru didakwa mahkamah, raba murid

Guru didakwa mahkamah, raba murid

am@hmetro.com.my

Seremban: Guru lelaki sebuah sekolah rendah di daerah ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini tadi, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat murid lelaki pada 2024 dan 2025.

Tertuduh, Mohamad Kamal Nik Ismail, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal antaranya mengusap punggung dan memegang kemaluan empat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun (ketika kejadian).

Kesalahan itu dilakukan di Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), bilik guru dan sebelah dewan sebuah sekolah di Senawang antara Jun 2024 hingga September 2025.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Sekyen 41(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan tiga syarat tambahan selain mengesahkan hubungan tertuduh dengan semua mangsa adalah guru dengan murid.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum serta memaklumkan sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak selain memaklumkan kini ditempatkan sementara di sebuah pusat kegiatan guru sejak bulan lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM9,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen pada 23 Februari depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top