kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan dan menetapkan harga tawaran sulung sukuk boleh tukar bercagar bernilai AS$300 juta (RM1.22 bilion), satu langkah strategik bagi memperkukuh kepelbagaian portfolio dan meningkatkan daya tahan pelaburan jangka panjang.
Sukuk itu diterbitkan menerusi syarikat tujuan khas (SPV) berdaftar di Labuan, Lunas Capital II Ltd dengan Lunas Capital I Ltd sebagai obligor.
Inisiatif berkenaan dirangka untuk mengumpul dana dalam mata wang asing bagi pelaburan dalam aset global, khususnya sukuk global bertaraf gred pelaburan yang mematuhi prinsip syariah.
Menariknya, sukuk boleh tukar berkenaan boleh ditukar kepada saham biasa Gamuda Berhad, syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur yang mempunyai operasi di Asia, Australia dan United Kingdom.
Hasil terbitan itu akan disalurkan sepenuhnya ke dalam pelaburan sukuk global berdenominasi dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus bertindak sebagai lindung nilai semula jadi terhadap risiko turun naik mata wang asing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, penerbitan itu mencerminkan pendekatan inovatif PNB dalam memastikan portfolio kekal relevan dalam landskap pelaburan yang semakin mencabar.
“Kami memanfaatkan nilai pegangan ekuiti domestik bagi mengurangkan risiko pertukaran asing serta menyediakan kepelbagaian yang lebih luas, sejajar dengan Peruntukan Aset Strategik di bawah Pelan Strategik LEAP 6,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, langkah itu juga selari dengan komitmen PNB terhadap prestasi pelaburan berhemat, tadbir urus yang kukuh serta pengurusan risiko mampan demi memastikan pulangan jangka panjang kepada pemegang unit.
Beliau berkata, sukuk boleh tukar itu mempunyai tempoh matang lima tahun dengan pilihan jual kepada pelabur pada akhir tahun ketiga.
Kualiti kreditnya diperkukuh melalui cagaran membabitkan saham asas Gamuda Berhad serta aset sukuk global berdenominasi dolar AS.
Gabungan asas kukuh saham asas dan struktur kredit yang mantap membolehkan sukuk itu ditawarkan pada kadar keuntungan sifar peratus dengan premium pertukaran sebanyak 10 peratus.
Selain itu, tawaran berkenaan turut menerima sambutan positif daripada pelabur ekuiti termasuk pelabur jangka panjang dan pelabur pelbagai strategi dari Asia serta Eropah.
Secara keseluruhan, penerbitan ini dijangka menyumbang kepada perluasan landskap instrumen boleh tukar di Malaysia serta menyokong pertumbuhan dan kecairan pasaran modal domestik.
Ia juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran sukuk terbesar dunia, dengan permintaan yang terus meningkat terhadap instrumen pembiayaan patuh Syariah.
CIMB dan JPMorgan bertindak sebagai Pengurus Utama Tawaran Bersama dan Pengurus Utama Bersama bagi transaksi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




