Arteta percaya Arsenal mampu lakar sesuatu musim ini

Arteta percaya Arsenal mampu lakar sesuatu musim ini

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata konsistensi mengagumkan yang dipamerkan pasukannya wajar membuatkan mereka yakin mampu mencipta sesuatu yang istimewa pada musim ini.

Pendahulu liga Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kini mendahului enam mata di hadapan juara bertahan, Manchester City, dan bakal berdepan Nottingham Forest di tempat lawan, esok.

Arsenal yang menamatkan saingan sebagai naib juara liga dalam tiga musim berturut-turut masih memburu kejuaraan utama pertama sejak 2020, namun kini kekal bersaing dalam empat kejohanan serentak.

The Gunners mendahului fasa liga Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan rekod sempurna, selain menewaskan Chelsea 3-2 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga minggu ini dan masih meneruskan cabaran dalam Piala FA.

Arteta ditanya pada sidang media pra perlawanan sama ada wujud keyakinan pasukannya berada di ambang sesuatu yang istimewa atau bersejarah musim ini.

“Kami sedang membina momentum dan keyakinan itu datang daripada prestasi serta tahap konsistensi yang kami pamerkan sepanjang 32 perlawanan musim ini.

“Apa yang kami lakukan di Stamford Bridge baru-baru ini sepatutnya menguatkan keyakinan bahawa kami memiliki kemampuan ke arah itu, namun realitinya kami perlu membuktikan dalam setiap perlawanan kerana masih banyak yang boleh berlaku.

“Kami gembira kerana masih bersaing dalam empat kejohanan,” kata pengendali dari Sepanyol itu yang hanya menyaksikan pasukannya tewas dua kali.

Arteta turut memaklumkan pemainnya memberi reaksi positif terhadap persaingan merebut tempat dalam skuad yang semakin mantap, sambil menegaskan pasukan perlu memiliki kekuatan barisan yang mendalam jika mahu bersaing merebut kejuaraan liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top