hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan komitmennya untuk menyalurkan kepakaran komunikasi strategik bagi memperkukuh Operasi Keselamatan Maritim ‘Op Naga’, sebuah inisiatif bersepadu bagi membanteras pencerobohan perairan negara.
Operasi yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ini memberi tumpuan khusus dalam menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing – IUU Fishing), terutamanya membabitkan Vesel Nelayan Asing (VNA).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, pelibatan SPRM dalam operasi ini bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga merangkumi aspek strategi penyampaian maklumat dan pendidikan integriti.
“Penglibatan BKS dalam operasi ini amat dihargai. Melalui pengalaman dan kepakaran kami, BKS akan menyokong usaha meningkatkan hebahan mengenai kejayaan operasi selain memperkukuh tahap integriti masyarakat, khususnya komuniti nelayan, dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Op Naga adalah operasi berprofil tinggi yang menggabungkan kekuatan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara.
Selain APMM dan SPRM, ia turut disertai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Turut memberi sokongan adalah Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Pelabuhan & Dermaga Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Bahagian Penguat Kuasa KPDN.
Kerjasama rentas agensi ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam memastikan agenda tadbir urus yang baik (good governance) dapat dilaksanakan dalam kawalan keselamatan perairan negara.
Op Naga yang digerakkan secara berterusan sejak tahun 2019 merupakan manifestasi keseriusan kerajaan dalam menangani isu ketirisan hasil laut negara.
Terdahulu, SPRM membuktikan keberkesanan tindakan mereka melalui Op Armada bersama APMM pada tahun 2017.
Operasi berkenaan berjaya membongkar kegiatan pencerobohan nelayan asing, khususnya dari Vietnam, yang berlindung di sebalik rasuah.
Hasil daripada operasi itu menyaksikan seorang warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak RM1.75 juta pada tahun 2019.
Dengan penyertaan BKS SPRM dalam Op Naga kali ini, diharapkan mesej pencegahan rasuah dan ketegasan undang-undang dapat disebar luas dengan lebih efektif kepada kumpulan sasar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




