georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan tiada kewajaran wujud sentimen siapa lebih bagus atau merendahkan usaha mana-mana artis kerana hanya menyebabkan berlaku perbalahan.
Siti Nurhaliza, 47, berkata, beliau percaya setiap orang industri seni seharusnya saling menghormati, meraikan usaha dan kejayaan rakan seindustri kerana ia adalah lebih baik serta membawa manfaat.
“Kita sepatutnya meraikan dan menyokong industri muzik kita. Jangan ada rasa kita lebih bagus atau lebih hebat daripada orang lain. Bagi saya, industri kita ini tidaklah sebesar industri luar negara.
“Pusing-pusing, kita akan bertemu orang yang sama juga,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya ke-47 dan apresiasi media, di sini, malam tadi.
Penyanyi lagu Kesuma itu mengulas komen segelintir pihak yang melontarkan kata-kata sinis sama ada berkaitan kerjaya seninya mahupun penganjuran konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, di kala industri hiburan kembali meriah, tetapi apabila timbul perkara negatif sebegitu, ia tidak memberi kebaikan, namun percaya kelab peminatnya, Sitizoners sangat bijak.
“Sebab itu saya rasa tak perlu pun hendak berlawan dengan sesiapa. Peminat sendiri pun sudah faham dan ada yang ‘melenting’ bagi pihak saya. Jadi saya fikir, cukuplah orang lain saja yang melenting.
“Saya tak perlu ‘melenting’ sangat. Saya hanya berseloroh sahaja. Perkara ini saya anggap sebagai satu pengajaran, terutamanya kepada anak-anak dalam industri,” katanya.
Menurut Siti Nurhaliza, tidak wajar untuk seseorang memberi luahan atau pandangan peribadi yang berniat merendah-rendahkan rakan industri lain melalui medium terbuka seperti media sosial.
“Kalau ada perkara kurang manis atau tidak elok untuk diperkatakan, tak perlulah diluahkan di tempat awam sehingga merendahkan orang lain. Dalam industri ini, sikap saling menyokong itu jauh lebih penting.
“Mungkin ada luahan yang saya sendiri tak baca, tetapi tetap ada orang yang menulis dan akhirnya sampai juga kepada saya. Jadi, perkara seperti itu sebenarnya tidak bagus dan tidak perlu untuk ditulis,” katanya.
Siti Nurhaliza juga menjelaskan maksud sebenar di sebalik reaksi spontan diberikan terhadap pertanyaan seseorang di platform Threads, baru-baru ini, beliau hanya berseloroh, selain sebagai ‘usikan manja’ buat peminat.
“Kadang-kadang bila kita berada dalam satu-satu situasi tertentu, dulu memang saya rasa tak perlu pun bercakap. Saya fikir, tak apalah. Tetapi sekarang, dengan kematangan yang ada, saya rasa perlu juga beri penjelasan.
“Namun, bukan niat saya untuk membalas atau menyerang sesiapa. Saya sekadar menjawab pertanyaan peminat. Peminat saya bertanya, ‘Siti, kenapa orang ini begini, begitu?’ Jadi, saya hanya menjawab secara ringkas,” katanya.
Terdahulu, Siti membalas pertanyaan seorang peminat di platform Threads yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kritikan seorang individu dipercayai berkaitan konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love.
Pada majlis berkenaan, Siti beramah mesra bersama rakan media yang disifatkan banyak membantu dalam perkembangan karier seninya sepanjang tiga dekad.
© New Straits Times Press (M) Bhd



