am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas ditembak di hadapan sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Besar Permatang Keling di sini, malam tadi.
Mangsa warga tempatan berusia 38 tahun itu didatangi dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal kira-kira jam 10.20 malam sebelum suspek dikatakan melepaskan enam das tembakan dari jarak dekat.
Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk rawatan lanjut, sebelum dirujuk ke Hospital Taiping dan disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
“Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu sebentar lagi,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




