Nyanyi siang ke malam untuk upah RM30

Nyanyi siang ke malam untuk upah RM30

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Hampir tiga dekad bergelar penyanyi, Siti Nordiana Alias atau Nana, 42, memulakan langkah awal ketika berusia sembilan tahun atas dorongan gigih bapanya, Allahyarham Alias Ahmad.

Menyertai banyak pertandingan menyanyi di sekitar Seremban, Negeri Sembilan, Nana akhirnya meraih rezeki dilamar menjadi penyanyi rakaman oleh FMC Music pada 1998 ketika berusia 14 tahun.

Terkenang semula kisah lalu itu, Nana berkata, dia muncul dengan album pertama Gurindam Rindu Berkasih pada 1999 dengan lagu popular seperti Cinta Hanyalah Sandaran dan Terpaut Sayang Padamu.

“Sebenarnya saya mula menyanyi sejak usia sembilan tahun. Masa itu, saya dah mula minat menyanyi dan kemudian pada usia 10 tahun, ayah bawa saya masuk pertandingan menyanyi di Seremban.

“Pertandingan menyanyi pertama yang saya sertai ialah Wirawan Seni Remaja EON dan waktu itu nyanyi lagu Teringin dendangan Shima, tapi tak menang. Dari situlah saya kemudian banyak sertai pertandingan.

“Sampailah yang terakhir saya sertai pertandingan menyanyi, Tunas Sembilan anjuran Negeri FM yang membawa saya jadi juara dan terus dapat peluang bergelar artis bersama FMC Music ketika umur 14 tahun pada 1998.

“Pada tahun 1999, saya keluar album pertama Gurindam Rindu Berkasih. Antara lagunya ialah Cinta Hanyalah Sandaran, Terpaut Sayang Padamu dan sebab apa jadi penyanyi kerana tunaikan harapan ayah saya,” terangnya.

Ujar Nana, secara tidak langsung selepas bergelar penyanyi dapatlah juga dia membantu keluarga dengan wang hasil menyanyi diterima menerusi tawaran persembahan diperoleh.

“Pengalaman menyanyi saya ketika menyertai pertandingan nyanyian dulu biasa sahaja. Naik ke pentas dan menyanyi. Tapi paling seronok, saya pernah menang hadiah televisyen (TV).

“Dapatlah juga merasa bawa balik hadiah TV untuk tengok bersama keluarga. Selain itu, saya juga banyak menyanyi dalam acara kenduri kahwin dari majlis bermula siang sampai ke malam dengan bayaran RM30.

“Seronok juga sebab banyak bayaran saya dapat masa itu. Termasuk dulu, saya pun selalu ikut ‘road tour’ arwah bapa yang menjual kaset dan CD (cakera padat) guna van ke pasar malam.

“Jadi, saya selalu ikut dan menjadi penyanyi untuk tarik pelanggan serta di situ (pasar malam) adalah saya dapat bayaran daripada ayah sebanyak RM30, RM40 yang diberi,” katanya mengimbau kenangan lama.

Berbicara juga bayaran diterima selepas jadi penyanyi, Nana memberitahu ketika berumur 15 tahun dan menandatangani kontrak sebagai penyanyi rakaman dan dibayar secara penuh, RM2,000 ketika itu.

Tambahnya lagi, untuk persembahan pula dia pernah menerima bayaran RM500 sahaja yang ketika itu undangan nyanyian dihadiri di ‘fun fair’ termasuk show ke pusat membeli-belah.

Kata Nana, semua bayaran diterima hasil persembahan nyanyiannya diserah untuk disimpan bapa dan hanya diminta kalau mahu membeli barangan keperluan seperti pakaian baharu dan peralatan solek.

Berbicara mengenai cabaran awal ketika menjadi penyanyi rakaman, Nana berkata, dia pernah berasa takut kerana memikirkan dirinya yang masih berstatus pelajar sekolah dan risau terhadap impak diterima.

“Cabaran pernah saya lalui di awal nak jadi penyanyi, ketika itu saya takut dengan mempersoalkan pada diri sendiri, boleh ke budak sekolah jadi penyanyi? Banyak yang saya tak mahu buat sebab fikir masih bersekolah.

“Kira degil juga masa itu sebab saya takut. Lagi pula, saya sering berulang-alik dari Sendayan (Negeri Sembilan) ke Kuala Lumpur dan itu menyebabkan sesi persekolahan saya terganggu.

“Bagaimanapun saya pindah ke ibu kota selepas habis sekolah. Jadi, segala urusan (kerja) lebih mudah. Apa yang pasti, karier nyanyian yang berjaya melakar nama saya hingga kini adalah satu rezeki.

“Ia dimulakan daripada impian arwah bapa yang paksa saya jadi penyanyi hingga membawa ke hari ini dan banyak mengajar saya erti kehidupan. Malah, saya sendiri rasa dapat melalui semua fasa dalam bidang nyanyian.

“Fasa mula nak naik (bina nama), dah naik (dikenali) serta fasa karier menurun serta buat ‘comeback’ kembali. Jadi saya rasa ia peningkatan sangat baik, termasuk pengalaman yang berguna.

“Pada saya, karier saya ini banyak mengajar bermacam-macam perkara daripada anak dara, jadi ibu dan kemudian ibu tunggal, semuanya dilalui dalam karier ini. Peminat saya yang setia pun membesar bersama saya,” katanya.

Mengenai perubahan sebagai penyanyi dulu dan sekarang, Nana berkata, sangat banyak. Antaranya dulu ketika zaman penjualan kaset dan CD, peluang dia jumpa peminat satu Malaysia selalunya persembahan di pusat membeli-belah dan ekspo.

Jelas Nana, cuma untuk sekarang pula sudah jadi sangat mudah apabila semua aktiviti dibuat secara online (atas talian) serta digital, manakala akses komunikasi dengan peminat juga begitu senang.

ESOK: Gosip cinta dengan Achik Spin

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top