ALR akui risiko kenderaan berat

ALR akui risiko kenderaan berat

amir_hamid@mediaprima.com.my

Foto Amiruddin Shahib

Petaling Jaya: Insiden treler merempuh pondok tol di Plaza Tol Kemuning baru-baru ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap ancaman kenderaan berat ke atas keselamatan lebuh raya termasuk warga kerja tol meskipun statistik kemalangan di lebuh raya sebenarnya kekal pada paras rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), Muhammad Nizam Alias, berkata, aspek keselamatan di lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan.

Menurutnya, walaupun kemalangan di lebuh raya jarang terjadi dibandingkan jalan biasa namun ia lazimnya bersifat serius berikutan kelajuan tinggi dan kepadatan trafik.

Muhammad Nizam berkata, piawaian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menetapkan kadar 15 kemalangan bagi setiap satu juta kenderaan setahun.

“Namun lebuh raya kendalian ALR merekodkan kadar lima kemalangan bagi setiap satu juta kenderaan setahun.

“Jika diteliti khusus kemalangan membabitkan kenderaan berat kelas dua dan tiga, kadarnya lebih rendah iaitu kurang daripada satu kemalangan bagi setiap satu juta kenderaan,” katanya dalam temu bual ekslusif bersama Harian Metro di Kompleks Operasi LITRAK di sini.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemalangan membabitkan kenderaan berat di plaza tol memberi kesan visual dan psikologi yang besar kerana potensi membabitkan banyak kenderaan serta mangsa terutama apabila berlaku kegagalan brek atau muatan berlebihan.

Muhammad Nizam berkata, pihaknya mengenal pasti plaza tol sebagai zon berisiko, khususnya yang terletak di laluan menurun namun kejadian di Plaza Tol Kemuning berlaku di kawasan landai, menunjukkan risiko wujud di semua plaza tol.

“Faktanya, semua kenderaan perlu memperlahankan kelajuan kepada 60 kilometer sejam ketika menghampiri plaza tol, tetapi faktor tingkah laku pemandu masih menjadi cabaran terbesar,” katanya sambil menegaskan papan tanda amaran dan peringatan check brake sudah dipasang lebih awal.

Beliau berkata, ALR melaksanakan pelbagai langkah mitigasi termasuk ciri keselamatan fizikal seperti nosing, swipe post, penghadang serta elemen frangible bagi menyerap impak tanpa membahayakan petugas di dalam pondok tol.

Dari sudut kebajikan, Muhammad Nizam berkata, keselamatan adalah nilai teras organisasi dan menjadi keutamaan sebaik sahaja kemalangan berlaku, termasuk rawatan segera, perlindungan insurans serta sokongan emosi kepada petugas terkesan.

“Kesan trauma tidak hanya dialami mangsa, malah rakan sekerja lain. Sebab itu kami sediakan kaunseling dan saya sendiri turun padang untuk meyakinkan keselamatan tidak pernah dikompromi, ” katanya.

Beliau menegaskan operasi kutipan tol boleh ditutup sementara sekiranya struktur rosak walaupun berdepan risiko kesesakan kerana keselamatan lebih utama berbanding hasil.

Menurutnya, ALR sebagai syarikat konsesi lebuh raya tol turut mewajibkan semua petugas mengikuti kursus keselamatan tahunan serta pensijilan semula, selain prosedur operasi standard (SOP) jelas termasuk laluan kecemasan untuk petugas bersedia sekiranya kenderaan menghampiri dalam keadaan mencurigakan.

Menyentuh teknologi, beliau berkata, sistem amaran awal dan kamera pintar terus diteroka, namun menegaskan penggunaan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa disiplin pemandu dan pemilik kenderaan berat.

Muhammad Nizam menekankan peranan syarikat pengangkutan dengan mengambil contoh pengendali lori minyak yang mengamalkan senarai semak komprehensif, sekali gus mencatat rekod keselamatan lebih baik.

Beliau turut menyokong dasar sistem Speed Limitation Device (SLD) atau peranti had kelajuan yang diperkenalkan kerajaan.

“Kami juga mencadangkan sistem penarafan bintang keselamatan bagi syarikat lori sebagai galakan serta tekanan untuk mematuhi piawaian, sekali gus mendapat taraf bintang terbaik.

“Apapun semua pihak berkenaan wajar akui bahawa di atas jalan, kenderaan berat membawa risiko lebih besar. Pemilik perlu bertanggungjawab, bukan hanya mengejar keuntungan atau trip tambahan,” katanya.

Mengulas peralihan kepada lebuh raya tanpa plaza tol atau multi-lane free flow, beliau berkata, langkah itu berpotensi mengurangkan kesesakan dan risiko, namun memerlukan kerangka undang-undang serta penguatkuasaan rapi bagi menangani penipuan dan pengesanan kenderaan.

Beliau mengakhiri temubual dengan menyeru pemandu lori lebih bertanggungjawab serta pengguna lebuh raya supaya bertolak ansur, mengingatkan bahawa jalan raya dikongsi bersama dan keselamatan tidak boleh diganti dengan apa juga nilai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top