Jemaah Menteri mula berkumpul di Seri Perdana menjelang Parlimen Isnin ini

Jemaah Menteri mula berkumpul di Seri Perdana menjelang Parlimen Isnin ini

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Beberapa kenderaan membawa Jemaah Menteri, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan dan ketua jabatan kerajaan mula memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, bagi menghadiri taklimat pra persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pertemuan itu diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kenderaan Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen dilihat mula memasuki kompleks berkenaan bermula jam 1.30 tengah hari tadi.

Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Turut kelihatan kenderaan dinaiki Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof masuk ke kompleks itu pada jam 2.10 petang.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula Isnin ini dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan Titah Diraja bagi perasmian kedua-dua dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pertemuan Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen bersama Perdana Menteri yang dijadualkan jam 2.30 petang ini dijangka membabitkan taklimat berkaitan isu semasa dan perkembangan dasar kerajaan.

Antara isu yang dijangka dibincangkan termasuk berkaitan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Perbincangan juga membabit Rang Undang-Undang (RUU) mengenai pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara.

Turut dibincangkan, RUU Ombudsman satu institusi diperkenalkan di zaman Islam disebut institusi akauntabiliti awam, pernah dilaksanakan di beberapa negara pada zaman khalifah (Islam).

RUU lain ialah berkaitan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang banyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top